MEXICO CITY, 29 Sept (Bernama-dpa) -- Hurikan Polo melanda Semenanjung Baja California di Mexico dengan kelajuan angin kencang berterusan kira-kira 175 kilometer sejam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perkhidmatan cuaca Mexico, Conagua menerusi hantaran di platform X memaklumkan bahawa ribut itu melanda berhampiran Bandar Las Barrancas kira-kira tengah malam (0700 GMT) sebagai hurikan Kategori 2.
Pihak berkuasa menggesa penduduk supaya berpindah ke kawasan selamat dan mematuhi arahan perlindungan awam, berikutan amaran "angin kencang yang membahayakan nyawa", banjir kilat serta hujan lebat.
Pusat Hurikan Kebangsaan AS (NHC) memaklumkan bahawa ribut berkenaan akan merentasi semenanjung itu dari barat ke timur dan dijangka tiba di tanah besar Mexico dalam keadaan semakin lemah menjelang pagi.
Sebelum melanda tanah besar, Taufan Polo telah menyebabkan kerosakan teruk di Wilayah Jalisco, barat Mexico. Pihak berkuasa perlindungan awam tempatan mengesahkan sekurang-kurangnya dua orang terkorban manakala tiga lagi dilaporkan hilang berikutan hujan lebat dan kejadian tanah runtuh.
Ribut berkenaan sebelum ini pernah meningkat ke tahap Kategori 5 yang paling tinggi di luar pantai Pasifik Mexico.
Kejadian banjir susulan diramalkan melanda beberapa bahagian di Wilayah Baja California Sur dan Sonora disebabkan kadar taburan hujan yang tinggi.
Fenomena iklim El Nino yang luar biasa kuat memacu musim hurikan yang tidak menentu pada tahun ini.
Sekalipun sembilan hurikan telah terbentuk di Pasifik -- dengan tiga daripadanya mencapai Kategori 5 teratas -- tiada sebarang hurikan dikesan terbentuk di Atlantik setakat ini. Musim hurikan dijangka berakhir pada 1 Nov.
-- BERNAMA-dpa