LONDON, 29 Sept (Bernama-PA Media/dpa) -- FIFA menuduh badan bola sepak Eropah, UEFA, menjalankan "kempen maklumat salah" untuk menggagalkan cadangan pelabur peribadi Piala Dunia Gianni Infantino, lapor PA Media/dpa.
Menurut pemfailan kes bagi pihak FIFA di mahkamah Amerika Syarikat, ia satu pengabaian tugas jika Infantino tidak meneliti cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE), yang akhirnya terpaksa ditinggalkannya selepas rancangan itu ditolak oleh UEFA, bersama dua konfederasi benua lain.
Pemfailan itu, yang dilihat oleh Persatuan Akhbar, dibuat di Mahkamah Daerah Florida Selatan, iaitu FIFA menentang usul oleh UEFA untuk pendedahan dokumen berkaitan FFE.
Tuntutan itu menolak sebarang cadangan bahawa Infantino berpeluang meraih keuntungan secara peribadi daripada FFE, sambil menambah bahawa cadangan itu memerlukan pengesahan daripada 211 ahli persatuan kebangsaan FIFA serta Majlis FIFA.
UEFA dituduh membuat permohonan itu "untuk tujuan gangguan, bukannya kerana keperluan sah untuk pembongkaran (salah laku). Itu sahaja adalah asas bebas untuk penafian".
Boleh dikatakan tuntutan paling merosakkan yang dibuat oleh badan induk bola sepak Eropah dalam permohonan asalnya ialah FFE diberi penilaian "di luar pasaran secara palsu" sebanyak US$20 bilion.
FIFA kini membalas dengan mengatakan UEFA telah menggabungkan nilai ekuiti dengan nilai perusahaan.
Ia berkata nilai perusahaan adalah "lebih dua kali ganda" daripada nilai ekuiti.
"UEFA akan mengetahui semua ini sekiranya ia bersusah payah untuk mengesahkan dakwaannya sebelum secara terbuka menolak cadangan atau memfailkan kes di mahkamah persekutuan," menurut pemfailan FIFA.
UEFA memaklumkan pihaknya telah hilang keyakinan terhadap Infantino walaupun FFE sudah ditinggalkan, dan sedang berusaha untuk meletakkan calon alternatif yang boleh dipercayai bagi menentangnya dalam pilihan raya presiden tahun depan.
Pemfailan FIFA mempersoalkan masa permohonan undang-undang UEFA, dengan menyatakan bahawa tarikh akhir untuk menyerahkan calon ialah 18 No.
"Mahkamah ini harus menolak sebarang percubaan untuk mempengaruhi pemilihan presiden FIFA berdasarkan alasan ini," menurut pemfailan itu.
UEFA telah dihubungi PA untuk mendapatkan komen.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa