KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Perwakilan asing dan diplomat di Malaysia terus merakamkan ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Isnin, sambil memberi penghormatan terhadap sumbangan Allahyarham kepada negara, khususnya dalam bidang perubatan dan kesihatan awam.
Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia memberi penghormatan kepada isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad itu, dengan mengenang beliau sebagai doktor perintis dan tokoh kesihatan awam yang memiliki sifat mesra, anggun dan rendah hati.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ruzina Hasan, yang menghadiri Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan menandatangani buku takziah bagi pihak Suruhanjaya Tinggi British pada Isnin, berkata beliau amat tersentuh dengan penghormatan yang diberikan kepada Dr Siti Hasmah.
“Saya menghadiri Istiadat Pengebumian Pembesar Negara bagi memberi penghormatan kepada Tun Dr Siti Hasmah dan amat tersentuh dengan curahan rasa simpati serta penghormatan yang diberikan.
“Tun Dr Siti Hasmah akan sentiasa dikenang kerana kemesraan, keanggunan dan sifat rendah diri beliau, selain sebagai antara doktor wanita terawal Malaysia dan perintis dalam bidang kesihatan awam,” kata Ruzina dalam mesej yang dikongsikan Suruhanjaya Tinggi itu dengan Bernama.
Kedutaan Itali di Kuala Lumpur turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam atas pemergian Dr Siti Hasmah menerusi mesej yang dimuat naik di saluran media sosial rasminya.
Kedutaan itu menyifatkan beliau sebagai doktor perintis dan penjawat awam terbilang yang mendedikasikan kehidupannya kepada bidang perubatan, kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Komitmen berterusan beliau terhadap sukan, khususnya badminton, serta kegiatan kebudayaan termasuk kecintaannya terhadap biola dan muzik klasik, turut memperkaya legasi khidmat beliau yang luar biasa kepada negara,” menurut kedutaan itu.
Kedutaan itu turut menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada Dr Mahathir, keluarga dan insan tersayang mereka serta rakyat Malaysia.
Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga dan insan tersayang Dr Siti Hasmah.
Dalam kapsyen yang mengiringi gambar Dr Siti Hasmah yang dimuat naik di akaun Instagram rasminya, @euinmalaysia, delegasi itu mengenang beliau atas khidmat cemerlang kepada Malaysia serta sumbangannya di pentas global.
“Sebagai seorang perintis sejati, beliau memperkasakan suara wanita Malaysia di pentas global -- daripada mewakili Malaysia di Vienna dan Geneva dalam memperjuangkan isu seperti pemerkasaan wanita, pencegahan penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental, hinggalah menjalinkan hubungan dengan pemimpin serta institusi utama di Brussels.
“Legasi belas ihsan, khidmat dan persahabatan antarabangsa beliau akan dikenang dengan penuh penghormatan,” menurut delegasi itu.
Sementara itu, Duta Besar Slovakia ke Malaysia Peter Spisiak dan Kedutaan Republik Slovakia di Kuala Lumpur, menerusi surat takziah yang dikongsikan dengan Bernama, merakamkan ucapan takziah yang mendalam serta menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Dr Siti Hasmah.
Surat itu menyatakan Dr Siti Hasmah akan dikenang dengan penuh penghormatan atas khidmat cemerlang beliau kepada Malaysia serta sumbangannya yang berpanjangan kepada negara dan rakyat.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada pagi Isnin pada usia 100 tahun dan disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari sama.
-- BERNAMA