Am 29/09/2026 06:23 PM

PM Rai Pemenang NSC 2026, Suntik Semangat Generasi Muda

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Rai Pemenang NSC 2026, Suntik Semangat Generasi Muda
Kredit: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan pemenang Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam pertemuan khas di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semalam, yang menjadi ruang mereka berkongsi pengalaman dan pencapaian masing-masing.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu turut mengetengahkan potensi generasi muda dalam mengaplikasikan ilmu sains, pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah bagi menangani cabaran dunia sebenar.

“Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan Malaysia memperkukuh ekonomi berasaskan inovasi dengan menggalakkan lebih ramai anak muda meneroka, bertanya, mencuba dan menghasilkan penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI),” menurut kenyataan itu.

Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah dinobatkan sebagai juara NSC 2026 diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tsung Wah, Perak sebagai naib juara manakala SMK Agama Jerlun, Kedah di tempat ketiga.

SMK Desa Petaling, Kuala Lumpur dan SMK Tapu, Terengganu masing-masing menduduki tempat keempat serta kelima.

Turut diraikan M. Lakshanyaa dari SMK Convent (M) Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang diangkat sebagai penerima Anugerah Komunikator Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Terbaik manakala Foo Xylyn dari SMK Chung Hwa, Kelantan meraih Anugerah Peserta Terbaik Peringkat Awal.

Pasukan juara dan naib juara serta kedua-dua penerima anugerah itu akan menyertai lawatan sains ke Jepun dari 4 hingga 10 Okt ini yang ditaja oleh Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST) menerusi Kursus Pengalaman Akademik Program Sekolah Tinggi Sains Sakura (SSHP).

“MOSTI kekal komited memperkukuh pendidikan STEM, memperluas peluang kepada generasi muda untuk meneroka bidang sains dan inovasi serta melahirkan bakat yang berupaya menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang memaklumkan NSC memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan awal kepada generasi muda serta mencetuskan minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sebagai laluan pembelajaran dan kerjaya.

Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula berkata menerusi NSC, pelajar digalakkan membina keupayaan menilai sesuatu persoalan secara kritis.

Beliau berkata NSC juga menguji idea berasaskan bukti serta memahami bahawa penyelesaian sesuatu masalah memerlukan proses percubaan, penilaian dan penambahbaikan secara berterusan.

-- BERNAMA