Dunia 20/10/2026 09:09 AM

Rusuhan Di Paris: Polis Kuat Kuasa Perintah Berkurung Di Dua Kawasan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rusuhan Di Paris: Polis Kuat Kuasa Perintah Berkurung Di Dua Kawasan
Credit: AP Foto/Emma Da Silva

PARIS, 20 Okt (Bernama-AP) -- Polis Paris pada Isnin mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam di dua kawasan di ibu negara Perancis susulan rusuhan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Rusuhan terbabit menyasarkan bangunan dewan perbandaran, kemudahan awam lain serta ribuan premis perniagaan di seluruh negara, lapor Associated Press (AP).

Menurut kenyataan polis Paris, arahan itu bertujuan melindungi orang awam dan harta benda daripada keganasan serta kegiatan rompakan.

Perintah berkurung itu melarang orang ramai memasuki atau berada di Place de la République, lokasi berlakunya rusuhan pada Sabtu, serta kawasan beli-belah Les Halles yang menjadi sasaran kegiatan rompakan.

Perintah berkenaan dikuat kuasa mulai 11 malam Isnin hingga 6 pagi Selasa, manakala sebarang perhimpunan dan demonstrasi turut dilarang bermula 8 malam, menurut polis Paris.

Terdahulu pada Isnin, Perdana Menteri Sébastien Lecornu menggesa pelaksanaan perintah berkurung secara sangat terhad dan hanya di kawasan tertentu.

Di utara Perancis, pihak berkuasa tempatan turut mengenakan perintah berkurung terhadap kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun di beberapa bandar, termasuk Lille, bermula Isnin selama dua hari dari 8 malam hingga 6 pagi.

Nice, sebuah bandar di Riviera Perancis turut melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam terhadap golongan bawah umur bermula 9 malam.

Lecornu mempertahankan tindakan polis dalam menangani kekacauan itu dengan menyifatkan ketiadaan korban nyawa sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Walaupun berlaku keganasan dan kerosakan harta benda yang meluas, tiada seorang pun terbunuh dan itu satu keajaiban," katanya.

Beliau berkata butiran lanjut mengenai perintah berkurung akan diumumkan kemudian pada Isnin selepas rundingan dengan datuk bandar.

-- BERNAMA-AP