KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia meningkat sedikit dalam dagangan awal pada Selasa walaupun sentimen pasaran secara keseluruhannya lebih perlahan.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.36 mata atau 0.02 peratus kepada 1,596.11 berbanding 1,595.75 semasa ditutup pada Isnin. Indeks itu dibuka rendah 3.18 mata kepada 1,592.57.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 201 berbanding 156 manakala 302 kaunter tidak berubah, 2,181 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 180.64 juta unit bernilai RM90.02 juta.
Apex Securities Bhd menjangkakan FBM KLCI bakal menerima sokongan daripada peningkatan semalaman di Wall Street, dengan indeks Nasdaq Composite meningkat 1.11 peratus dan S&P 500 menokok 0.41 peratus, diterajui pemulihan saham semikonduktor dan memori berkaitan kecerdasan buatan.
Bagaimanapun menurut firma pembrokeran itu, kedudukan pasaran yang lemah dan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang tinggi boleh mengehadkan kesan positif itu terhadap pasaran tempatan.
Hasil bon Perbendaharaan AS masing-masing kira-kira 5.15 peratus bagi tempoh 10 tahun dan 5.48 peratus bagi tempoh 30 tahun.
“Secara keseluruhan, FBM KLCI berkemungkinan diniagakan dalam julat tertentu, dengan pelabur kekal selektif dan cenderung memilih kaunter yang dipacu faktor domestik serta kaunter defensif,” menurut Apex Securities.
Menurutnya kaunter teknologi boleh mencatatkan pemulihan seiring dengan saham cip AS manakala kaunter tenaga berpotensi untuk terus menerima sokongan daripada harga minyak yang menghampiri US$100 setong.
Apex Securities memaklumkan kaunter pembinaan juga berpotensi mendapat manfaat daripada projek pusat data manakala amanah pelaburan hartanah (REIT) dan kaunter hartanah dijangka terus mengalami tekanan susulan hasil Perbendaharaan AS yang tinggi.
Saham wajaran tinggi diniagakan bercampur-campur dengan Maybank meningkat empat sen kepada RM9.94, Public Bank naik satu sen kepada RM4.72, CIMB menokok dua sen kepada RM7.17, Hong Leong Bank mendatar pada RM21.10 manakala TNB susut enam sen kepada RM12.92 dan YTL Power turun lima sen kepada RM5.21.
Dalam dagangan aktif, GIIB meningkat 1.5 sen kepada 70.5 sen, Ni Hsin menokok satu sen kepada 45.5 sen, Zetrix AI dan OCR tidak berubah masing-masing pada lima sen dan 4.5 sen manakala Top Glove susut setengah sen kepada 88.5 sen dan LYC menurun satu sen kepada setengah sen.
Nestle mendahului senarai kaunter paling untung apabila meningkat 40 sen kepada RM90.30, MISC naik 14 sen kepada RM9.49, Petron meningkat 11 sen kepada RM3.45 dan Press Metal menokok lima sen kepada RM6.73.
Bagi kaunter paling rugi, KESM menyusut 15 sen kepada RM4.54, Kerjaya Prospek menurun 10 sen kepada RM3.22, UWC susut sembilan sen kepada RM7.21 dan Kim Hin berkurangan 8.5 sen kepada 80.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 1.31 mata kepada 11,908.38 manakala Indeks FBM Top 100 turun 1.18 mata kepada 11,704.04.
Indeks FBM Mid 70 susut 17.71 mata kepada 17,116.03, Indeks FBM Emas Shariah rendah 13.83 mata kepada 11,860.36 dan Indeks FBM ACE menurun 1.58 mata kepada 5,391.71.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 55.25 mata kepada 18,546.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.40 mata kepada 174.5, Indeks Perladangan menurun 62.97 mata kepada 8,590.4 dan Indeks Tenaga naik 1.67 mata kepada 825.23.
-- BERNAMA