Am 20/10/2026 10:22 AM

Pelepasan Cukai Galak Pemilikan Haiwan Bertanggungjawab, Perkukuh Kesihatan Awam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelepasan Cukai Galak Pemilikan Haiwan Bertanggungjawab, Perkukuh Kesihatan Awam
-- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Cadangan pelepasan cukai bagi pengambilan haiwan angkat dan penjagaan kesihatan veterinar di bawah Belanjawan 2027 berpotensi mengukuhkan amalan pemilikan haiwan secara bertanggungjawab, di samping meningkatkan usaha pencegahan penyakit zoonotik dan pengurusan haiwan terbiar.

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Mohd Faizal Ghazali berkata inisiatif kerajaan itu dapat menggalakkan pemilik haiwan melakukan vaksinasi, yang sebelum ini dianggap membebankan dari segi kewangan.

Beliau berkata amalan vaksinasi amat penting bagi mencegah penularan penyakit berjangkit dalam kalangan haiwan serta mengurangkan risiko penyakit zoonotik iaitu penyakit yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia. 

“Antara ancaman serius ialah rabies atau penyakit anjing gila yang boleh membawa maut apabila gejala klinikal muncul. Oleh itu, langkah pencegahan melalui vaksinasi dan pengurusan kesihatan haiwan perlu diberi perhatian,” katanya kepada Bernama.

Dr Mohd Faizal yang juga pengasas Fakulti Perubatan Veterinar UniSZA berkata peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan haiwan peliharaan dapat membantu membentuk perlindungan komuniti, sekali gus mengurangkan risiko penularan penyakit dan kos pengurusan wabak dalam jangka panjang. 

Selain itu, beliau berkata pelepasan cukai bagi pengambilan haiwan dari pusat perlindungan berdaftar berpotensi menggalakkan budaya Adopt, Don't Shop sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pembiak haiwan tidak berdaftar. 

“Langkah ini dapat membantu meringankan kos permulaan pengambilan haiwan angkat termasuk pemeriksaan kesihatan awal, pemandulan dan pendaftaran selain menyokong usaha pusat perlindungan menguruskan haiwan terbiar,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mohd Faizal menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempermudah proses pendaftaran pusat perlindungan haiwan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berskala kecil bagi membolehkan lebih banyak pusat perlindungan berdaftar memenuhi syarat kelayakan dan membantu memperluas manfaat insentif kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Ipoh Society for the Prevention of Cruelty to Animals (ISPCA) Ricky Soong berkata inisiatif berkenaan sedikit sebanyak membantu menggalakkan masyarakat mengambil ‘haiwan angkat’ dari pusat jagaan sekali gus mengurangkan kesesakan pusat itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kebiasaanya pusat jagaan tidak mengenakan bayaran atau hanya yuran nominal untuk mereka yang berminat mengambil haiwan di pusat jagaan, sekali gus tidak memberi impak langsung kepada penggiat kebajikan haiwan jalanan.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan turut melaksanakan inisiatif pelepasan cukai untuk menggalakkan sumbangan korporat dan individu terus kepada NGO berdaftar.

“Pusat perlindungan haiwan (NGO) dan penyelamat persendirian menanggung kos operasi yang sangat tinggi  dari segi makanan, sewa dan rawatan perubatan tanpa sebarang subsidi kerajaan. Jadi, kerajaan perlu berkolaborasi secara holistik bersama NGO, doktor veterinar dan PBT untuk memastikan dasar ini benar-benar menyelesaikan isu pokok haiwan terbiar di peringkat akar umbi,” katanya.

Pemelihara haiwan Rosdalila Zahari, 40, berkata langkah pelepasan cukai diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu meringankan beban kewangan pemilik haiwan, khususnya mereka yang memelihara lebih daripada seekor kucing dan perlu menanggung kos penjagaan secara berterusan.

“Walaupun kucing saya bukan daripada baka mahal, namun kos penjagaannya tetap tinggi. Kos vaksinasi, pemandulan, rawatan perubatan dan perbelanjaan sampingan boleh mencecah antara RM500 hingga RM1,000 bagi seekor kucing, bergantung pada jenis rawatan dan keperluan kesihatan.

“Selain kucing yang saya bela, saya juga memberi makan, minum serta rawatan ke atas lima ekor kucing jalanan yang selalu datang ke rumah,” katanya.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas, mengumumkan cadangan memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi gaya hidup merangkumi kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.

-- BERNAMA