Am 20/10/2026 11:01 AM

MyCV, MAB Diminta Bincang Peluang Dana Untuk Penggiat Seni OKU Penglihatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MyCV,  MAB Diminta Bincang Peluang Dana Untuk Penggiat Seni OKU Penglihatan

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- MyCreative Ventures (MyCV) diminta mengadakan perbincangan susulan dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi mengenal pasti peluang pendanaan buat penyanyi dan pemuzik Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan menerusi program sedia ada.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata langkah itu bertujuan membantu penggiat seni daripada kelompok berkenaan menghasilkan album dan menganjurkan persembahan, sekali gus memperluas peluang untuk mereka terus berkarya dalam industri kreatif.

“Saya telah minta MyCreative Ventures mengadakan perbincangan susulan dengan MAB. Sekiranya MAB ada nak mencadangkan penyanyi, pemuzik dalam kalangan ahli MAB, maka kita bantu terutama (bagi) mereka nak laksanakan program, menghasilkan CD ataupun album,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas Bernama mengenai cabaran golongan OKU penglihatan dalam mendapatkan pekerjaan akibat stigma dan kurangnya kepercayaan terhadap keupayaan mereka termasuk dalam industri seni dan penyiaran.

Menjelaskan MyCV mempunyai program pendanaan sedia ada yang boleh dimanfaatkan golongan berkenaan, Fahmi bagaimanapun berkata hingga saat ini beliau belum menerima sebarang maklumat terperinci tentang permohonan atau bantuan yang telah diproses.

Selain pendanaan, Fahmi turut meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneliti peluang untuk menampilkan ahli MAB sebagai pembaca berita bersempena dengan sambutan atau acara tertentu berkaitan OKU, selain membuka ruang penglibatan golongan berkenaan dalam bidang muzik.

Cadangan itu, katanya antara usaha untuk membuka ruang bagi golongan berkenaan terlibat dalam bidang penyiaran dengan mengambil kira pengalaman sebahagian ahli MAB yang pernah mengacarakan majlis.

Menurut beliau, kementeriannya juga bersedia memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kementerian lain, bagi memudahkan golongan OKU mengakses pelbagai perkhidmatan, geran, dana dan program pembangunan kemahiran.

“Kita tak nak ‘pigeonholed’ (mengehadkan kepada satu kategori) ataupun hanya berkata MAB bawah bidang tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai contoh, sebab ada ramai dalam kalangan mereka yang merupakan usahawan.

“Saya lihat kementerian-kementerian lain juga perlu tingkatkan usaha untuk menyantuni dan membantu golongan OKU termasuk persatuan seperti MAB,” katanya.

Beliau berkata peluang memperkasa golongan itu turut boleh diperluas melalui program literasi digital dan kecerdasan buatan (AI) sedia ada di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Maju Johor

Mengulas peruntukan RM160 juta untuk industri kreatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, Fahmi berkata tiada pengkhususan kepada penggiat OKU ditetapkan sebaliknya setiap permohonan dinilai berdasarkan merit dan kesesuaian dengan tujuan program.

Fahmi dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah mengenai peluang untuk membantu penggiat seni OKU, termasuk memudahkan urusan permit bagi aktiviti “busking”, karaoke dan nyanyian serta akses kepada pembiayaan.

Perkara yang akan dibawa kepada perhatian kementerian dan agensi berkaitan termasuklah usaha memudahkan permit atau kebenaran bagi pemuzik OKU penglihatan menjalankan aktiviti persembahan jalanan, karaoke dan nyanyian selain permohonan serta pembiayaan dana.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan pihaknya terus memperluas pelaksanaan Program Disability Equality Training (DET) bagi mengubah persepsi majikan terhadap keupayaan OKU, termasuk dalam industri kreatif.

KPWKM berkata program itu turut mendedahkan peserta kepada halangan berasaskan sikap masyarakat, selain aspek etika dan penggunaan bahasa, yang dikendalikan oleh golongan OKU sendiri.

“Program ini merupakan mekanisme untuk mengubah persepsi dan sikap majikan agar menitikberatkan kebolehan serta kompetensi OKU dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Dalam usaha memperluas peluang pekerjaan golongan OKU, KPWKM terus memperkasa Program Perkhidmatan Job Coach bagi membantu golongan itu dan majikan mengenal pasti kesesuaian tugas serta menyediakan sokongan di tempat kerja.

Usaha itu turut disokong kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam pemadanan pekerjaan, penilaian kemahiran dan latihan peningkatan kompetensi, termasuk melalui platform MYFutureJobs yang menyediakan sokongan penilaian kemahiran serta menghubungkan pencari kerja dengan majikan.

Bagi jangka panjang, KPWKM akan memperkukuh peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya OKU menerusi penambahbaikan dasar, pelaksanaan Garis Panduan Kerjaya Inklusif OKU di Sektor Awam (GP KISA), pengukuhan perkhidmatan Job Coach serta peluasan latihan kemahiran bersama-sama dengan agensi berkaitan.

Bernama menerusi laporan khas tiga bahagian yang disiarkan mulai 17 Okt lepas mengetengahkan cabaran penggiat industri kreatif OKU penglihatan mendapatkan pekerjaan dan ruang persembahan, selain berdepan kos pengangkutan tinggi serta stigma masyarakat terhadap keupayaan mereka.

-- BERNAMA