Am 20/10/2026 10:27 AM

KPDN Kedah Bongkar Penyelewengan Minyak Masak Di Gudang Pakaian Terpakai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Kedah Bongkar Penyelewengan Minyak Masak Di Gudang Pakaian Terpakai
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin (kiri) memeriksa minyak masak paket yang disembunyikan di sebuah gudang pakaian terpakai dalam serbuan di Kawasan Industri Ringan Kemuning, di sini, semalam.

SUNGAI PETANI, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 3,383 unit minyak masak peket bersubsidi bernilai RM8,457.50, dalam serbuan di sebuah gudang pakaian terpakai di Kawasan Industri Ringan Kemuning, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata premis itu, dipercayai digunakan untuk menyembunyikan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi daripada dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata ketika serbuan yang dijalankan pada 2 petang itu, dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun berada di lokasi, sebelum pemeriksaan menemukan sejumlah minyak masak  bersubsidi di dalam premis itu tanpa lesen atau kebenaran Pengawal Bekalan.

“Sebanyak 3,383 unit minyak masak peket bersubsidi disita untuk siasatan lanjut, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM8,457.50,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961

Muhammad Nizam berkata KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan, khususnya barangan bersubsidi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata pihaknya juga akan terus mempergiat pemeriksaan serta operasi penguatkuasaan selaras dengan inisiatif “Kita Gempur” yang diumumkan kerajaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp menerusi talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi EzADU KPDN.

-- BERNAMA