Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 17 Okt (Bernama) -- Rangkaian restoran makanan segera tempatan, Marrybrown menyasarkan pembukaan 30 cawangan baharu di seluruh negara pada 2027 sebagai sebahagian daripada strategi memperluas operasi dan memperkukuh kedudukannya dalam industri makanan segera.
Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown Malaysia Daniel Chan Lek Seong berkata perancangan itu sejajar dengan usaha syarikat untuk terus mengembangkan rangkaian perniagaannya bagi memenuhi permintaan pengguna di pasaran domestik.
“Marrybrown kini mempunyai kira-kira 300 cawangan di Malaysia, dengan Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sekitar 100 cawangan memandangkan jenama itu berasal dari negeri berkenaan,” katanya kepada Bernama selepas hadir perasmian Program Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (Road to FIM2027) di sini semalam.
Beliau berkata syarikat juga merancang memperluas rangkaiannya di Johor seiring perkembangan ekonomi negeri, termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Berhubung perkembangan antarabangsa, Daniel berkata Marrybrown yang kini mempunyai kira-kira 500 cawangan di 16 negara termasuk Malaysia turut merancang meneroka pasaran baharu, termasuk Kemboja dan Mesir.
Beliau berkata cawangan pertama di Kemboja dijadual dibuka pada November ini, dengan kerja pengubahsuaian premis sedang dilaksanakan.
Daniel berkata syarikatnya menyasarkan untuk terus memperluas kehadiran antarabangsa dengan meneroka antara tiga hingga lima pasaran negara baharu setiap tahun, tertakluk kepada peluang perniagaan yang dikenal pasti.
Beliau berkata usaha itu turut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk agensi berkaitan dan Persatuan Francais Malaysia (MFA), bagi memperkukuh kedudukan jenama tempatan di pasaran global.
“Kira-kira 90 peratus bahan mentah yang digunakan Marrybrown diperoleh daripada pembekal tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menyokong rantaian bekalan domestik.
“Selain itu, syarikat turut mengekalkan harga menu buat masa ini dengan memberi keutamaan kepada penawaran makanan pada harga berpatutan kepada pengguna,” katanya.
-- BERNAMA