KOTA BHARU, 17 Okt (Bernama) -- Lebih 65,000 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi lebih 11,000 operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia di seluruh negara dari 1 Jan hingga 15 Okt tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Lokman Effendi Ramli.
Beliau berkata dalam tempoh 287 hari itu, lebih 146,000 warga asing diperiksa dan lebih 45,000 daripada mereka yang ditahan telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Lokman Effendi berkata berdasarkan jumlah operasi berkenaan, imigresen melaksanakan purata lebih 38 operasi sehari dan kira-kira 511 warga asing diperiksa manakala 228 ditahan setiap hari.
“Ini menunjukkan keseriusan pihak Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas operasi penguatkuasaan di tapak projek Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hari ini.
Beliau berkata antara kesalahan yang sering dikesan ialah tidak memiliki dokumen atau pas sah untuk berada di Malaysia, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas atau permit.
Lokman Effendi berkata warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar antara paling ramai dihantar pulang hasil operasi penguatkuasaan berkenaan yang membabitkan pelbagai sektor antaranya pembinaan, perkhidmatan serta perladangan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya menahan 55 warga asing daripada 57 individu yang diperiksa dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian, dan kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan sebelum dibawa untuk pemeriksaan lanjut sebelum tindakan mengikut undang-undang diambil.
Menerusi satu lagi operasi, Lokman Effendi berkata seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai transporter bagi membawa 10 rakan senegara keluar dari Malaysia melalui laluan tidak sah, dan kesemua 11 individu berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh pada 8.30 pagi.
Beliau berkata 10 warga Myanmar terbabit dipercayai datang dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur sebelum transit di Wakaf Che Yeh untuk dibawa keluar dari Malaysia.
“Setiap individu dipercayai dikenakan bayaran kira-kira RM3,500 untuk dibawa keluar dari negara ini. Bagaimanapun, hasil risikan, pergerakan mereka berjaya dipintas dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah pihak Imigresen masih menyiasat tempoh lelaki yang dipercayai bertindak sebagai transporter itu menjalankan kegiatan tersebut serta kemungkinan penglibatan kumpulan lain.
Lokman Effendi berkata kegiatan membawa keluar warga asing melalui laluan tidak sah bukan perkara baharu dan berkemungkinan melibatkan beberapa kumpulan atau ejen berbeza namun siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes berkenaan.
-- BERNAMA