KLANG, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti lokasi kritikal yang memerlukan pembinaan kolam takungan baharu atau penambahbaikan sistem perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat di negeri itu.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata kajian itu penting bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan langkah penyelesaian segera terutama di kawasan bandar seperti Shah Alam, Klang dan Kajang.
“Ketika ini, Selangor menerima pelbagai projek tebatan banjir daripada Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan bernilai lebih RM4 bilion, dengan sebahagiannya sedang dilaksanakan dan hampir siap manakala selebihnya masih dalam perancangan.
“Bagaimanapun, kita akui masih ada keperluan bagi menyelesaikan isu banjir kilat terutama di kawasan bandar seperti di Shah Alam, Klang dan Kajang... jadi, kita akan kaji dengan mengenal pasti lokasi kritikal terlibat supaya kolam takungan atau pembesaran parit boleh dilakukan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Dialog Awam Belanjawan Negeri Selangor: Kita Anak Muda 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi membangunkan kolam takungan dan menyelenggara sungai sebagai usaha mengurangkan risiko banjir kilat di Lembah Klang.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor turut menyepakati lima langkah utama bagi menangani isu itu termasuk menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate untuk memenuhi keperluan bagi tempoh 30 tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Izham berkata selain pembinaan kolam takungan dan sistem perparitan, beliau mencadangkan kaedah alternatif bagi mengatasi masalah banjir antaranya pembinaan “lebuh raya air” di Lembah Klang.
Beliau berkata cadangan itu telah dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum ini, yang meminta supaya ia dikaji secara teliti sebelum dimasukkan dalam Pelan Induk Air 2.
Dalam pada itu, Izham berkata Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan RM40 juta bagi menangani masalah banjir kilat di sekitar Bukit Raja termasuk i-City namun projek menaik taraf berkenaan masih dalam proses reka bentuk dan memerlukan masa sebelum dapat dilaksanakan.
Beliau berkata pihaknya juga dijangka menerima peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri menerusi Belanjawan Selangor 2027 yang akan dibentang bulan depan bagi membiayai projek berkaitan jalan raya dan penanganan banjir di bawah Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Kita sememangnya mempunyai projek yang bernilai tinggi. Perkara itu akan diumumkan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) kelak,” katanya.
Ditanya mengenai isu kemalangan yang kerap berlaku di Persiaran Mokhtar Dahari, Izham berkata cadangan menaik taraf laluan berkenaan kini dalam proses dimuktamadkan.
Beliau berkata antara cadangan yang dikemukakan ialah menambah bilangan lorong daripada dua kepada tiga termasuk di persimpangan kawasan berkenaan namun pelaksanaannya melibatkan kos yang agak tinggi.
-- BERNAMA