Am 17/10/2026 07:39 PM

Persembahan Amal MfM Kumpul Rm85,500, Bantu Pemuzik Memerlukan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Persembahan Amal MfM Kumpul Rm85,500, Bantu Pemuzik Memerlukan

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Musicians for Malaysia (MfM) berjaya mengumpul RM85,500 menerusi persembahan amal Rocking for a Cause baru-baru ini bagi membantu golongan pemuzik yang memerlukan, di samping menghargai sumbangan penghibur veteran.

Dalam kenyataan hari ini, MfM memaklumkan edisi keempat Benefit Showcase yang berlangsung di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya, Selangor itu menghimpunkan 560 hadirin dan memberi pengiktirafan kepada 21 pemuzik veteran atas sumbangan mereka kepada industri muzik tanah air.

“Menerusi Rocking For A Cause, MfM terus memperjuangkan kebajikan pemuzik, mengiktiraf sumbangan artis veteran serta menggalakkan peluang untuk pemuzik di seluruh Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Antara pemuzik yang menerima penghormatan ialah Alfred Ho, Tinoy Soliano, Radha Krishnan, Frankie Tan, Ruzlan Omar, Rusli Musif yang juga dikenali sebagai Olie daripada kumpulan Heavy Machine serta Royston Sta Maria.

Penerima lain termasuk Kenny Tay, Kathleen Rodrigues, Bonnie Jeremiah, Richard Joseph dan Presiden MfM Francis Danker, dengan kesemua 21 individu itu menerima plak sebagai penghargaan atas sumbangan masing-masing.

Maju Johor

Persembahan berkenaan menampilkan Datuk Francissca Peter, Royston, Electric Orgasm, Goblokes, Heavy Machine serta Lighthouse bersama Vijay David selain artis lain.

Francissca menyampaikan lagu-lagu popular beliau termasuk “Sekadar Di Pinggiran” dan “Oo La La Tropika”, manakala Royston yang tiba dari Perth, Australia, bergandingan semula dengan Shuib daripada kumpulan Freedom untuk mempersembahkan lagu “Mulanya Di Sini” dalam segmen yang turut memberi penghormatan kepada Allahyarham Seha Abu Bakar, penyanyi utama asal kumpulan itu.

Electric Orgasm turut meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya pada acara itu, yang menghimpunkan pemuzik dan penyokong dari beberapa negeri, selain tetamu dari Amerika Syarikat, New Zealand serta Australia.

“Dengan menghimpunkan komuniti muzik, MfM berharap dapat memastikan mereka yang telah menghiburkan generasi demi generasi tidak dilupakan ketika mereka paling memerlukan sokongan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA