Am 17/10/2026 07:36 PM

UDA Peruntuk RM5 Juta Bina Taman Awam, Kemudahan Rekreasi Di Pulau Pinang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UDA Peruntuk RM5 Juta Bina Taman Awam, Kemudahan Rekreasi Di Pulau Pinang
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali (dua, kiri) memerhatikan model kondominium Eight & Eight selepas majlis perasmian pusat pameran projek berkenaan hari ini.

GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- UDA Holdings Berhad memperuntukkan RM5 juta bagi membina taman awam dan kemudahan rekreasi di Pulau Pinang, termasuk Laman Tanjong seluas 2.5 ekar bersebelahan pembangunan Eight & Eight Condominium di Tanjung Tokong, di sini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata pembangunan kondominium itu turut menawarkan nilai tambah kepada pembeli susulan penukaran status tanah daripada pajakan kepada pegangan bebas.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kerjasama dan sokongan dalam merealisasikan penukaran status pegangan bebas bagi pembangunan Eight & Eight Condominium.

“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi pelaksana seperti UDA mencerminkan semangat Strategi Lautan Biru, yang mengutamakan sinergi kepakaran dan sumber merentas agensi bagi menghasilkan penyelesaian yang praktikal, cekap serta berpaksikan rakyat, sekali gus memacu pembangunan bandar berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Eight & Eight Condominium Experience Centre di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syarleena Abdul Rashid.

Sim berkata pembinaan Laman Tanjong bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi dan memberikan nilai tambah kepada projek berkenaan, malah Eight & Eight Condominium turut membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan menerusi peningkatan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan.

Sementara itu, Ahmad Fuaad berkata UDA terus memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pembangunan di Pulau Pinang sejak 1971, khususnya di Tanjung Tokong menerusi projek kediaman, komersial dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan kawasan serta kesejahteraan komuniti setempat.

“Projek-projek ini dibangunkan bagi mengangkat kualiti hidup dengan suasana persekitaran yang lebih inklusif menerusi pelbagai kemudahan asas seperti dewan, surau dan tempat letak kereta bertingkat, selain terletak di lokasi strategik yang berdekatan dengan pusat beli-belah, sekolah dan sebagainya.

Mengulas perincian projek lain di kawasan sekitar, Ahmad Fuaad memaklumkan pembangunan Warisan Tanjung yang dibangunkan secara berfasa di tanah seluas 17.58 hektar merangkumi keseluruhan 3,836 unit rumah pelbagai kategori daripada kos rendah, sederhana rendah, mampu milik sehingga terbuka.

"Daripada jumlah itu, 1,200 unit ialah rumah gantian bagi penempatan semula penduduk asal Tanjung Tokong, membabitkan 550 unit yang telah siap diserahkan, manakala baki 650 unit lagi masih dalam peringkat perancangan,” katanya.

Selain itu, UDA turut membangunkan Desiran Tanjung seluas 21.88 hektar (54.07 ekar) yang merangkumi kawasan komersial seperti Vantage Desiran Tanjung, yang menempatkan kira-kira 120 unit kedai pejabat di sepanjang Jalan Tanjung Tokong.

Bagi Eight & Eight Condominium, Ahmad Fuaad berkata pembangunan itu menawarkan 600 unit kediaman merangkumi dua menara dengan reka bentuk koridor satu sisi pada setiap aras bagi mengoptimumkan pencahayaan serta pengudaraan semula jadi.

Projek yang dijangka siap pada 2029 itu menyasarkan pembeli rumah pertama, golongan profesional dan pelabur dengan pilihan unit tiga bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan antara 885 hingga 1,019 kaki persegi atau tiga bilik tidur dan tiga bilik air seluas 1,139 kaki persegi, pada harga bermula RM691,628.

“Kemudahan yang disediakan termasuk surau, ruang pengecasan kenderaan elektrik, kolam renang, gimnasium, ruang yoga, bilik permainan, ruang kerja bersama dan bilik senamrobik. Dewan serba guna turut berfungsi sebagai gelanggang pickleball (bola pikel) dan badminton. Kemudahan lain termasuk ruang barbeku di kawasan tertutup dan terbuka,” katanya.

Projek berkenaan menerapkan ciri pembangunan mampan seperti penggunaan cat dengan kandungan sebatian organik meruap (VOC) yang rendah, sistem penuaian air hujan, kawasan tanaman herba dan landskap hijau selain terletak berhampiran hospital, sekolah, pusat beli-belah serta kemudahan rekreasi termasuk Taman Botani Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fuaad berkata pembeli berpeluang menyertai kempen “Bonanza Memenuhi Impian 2026” yang berlangsung hingga 31 Dis ini, menawarkan hadiah utama sebuah unit kondominium Residensi Dedaun di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras bernilai lebih RM500,000.

-- BERNAMA