Am 13/10/2026 08:28 PM

DUN Sarawak Lulus Rang Undang-undang Cuti Umum (Pindaan) 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
DUN Sarawak Lulus Rang Undang-undang Cuti Umum (Pindaan) 2026

KUCHING, 13 Okt (Bernama) -- Cuti umum di Sarawak yang jatuh pada hari Ahad atau bertindih dengan cuti umum lain akan digantikan secara automatik susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan) 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan diluluskan melalui undian majoriti selepas tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan.

Sharifah Hasidah berkata ketika ini, undang-undang memperuntukkan sekiranya cuti umum jatuh pada hari Ahad, hari Isnin berikutnya hendaklah menjadi cuti umum. Bagaimanapun, undang-undang itu tidak memperuntukkan keadaan apabila sesuatu cuti umum bertindih dengan cuti umum yang lain.

“Situasi pertindihan ini telah berlaku beberapa kali di Sarawak sebelum ini, khususnya ketika musim perayaan.

“Sebagai contoh, pada 2025, hari kedua Hari Gawai bertindih dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong manakala pada 2026, Hari Wesak jatuh pada hari Ahad sementara hari Isnin dan Selasa telah ditetapkan sebagai cuti umum Gawai,” katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu akan membolehkan cuti umum gantian berkuat kuasa secara automatik di bawah Ordinan berkenaan.

“Tidak perlu lagi mengeluarkan pemberitahuan berasingan dalam Warta Kerajaan setiap kali pertindihan cuti seperti itu berlaku. Langkah ini akan memberikan kepastian yang lebih jelas kepada orang ramai dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kerana cuti umum gantian akan berkuat kuasa secara automatik di bawah undang-undang.

“Saya berpendapat langkah ini akan membolehkan keluarga atau mana-mana anggota masyarakat merancang cuti lebih awal tanpa perlu tertanya-tanya atau menunggu pengesahan cuti melalui pewartaan,” tambahnya.

-- BERNAMA