MAEBASHI (Jepun), 13 Okt (Bernama-Kyodo) -- Sebuah tasik kawah berwarna hijau zamrud di timur Jepun menarik kehadiran ramai pelancong pada Selasa apabila kawasan sekitarnya dibuka semula buat kali pertama dalam tempoh lebih lapan tahun susulan penurunan tahap amaran gunung berapi, lapor Kyodo News.
Pekan Kusatsu di Wilayah Gunma menarik balik sekatan kemasukan ke kawasan sekitar Tasik Kawah Yugama di Gunung Kusatsu-Shirane, yang terletak merentasi wilayah Gunma dan Nagano.
Pengunjung memenuhi laluan pejalan kaki dan dek pemerhatian untuk menyaksikan tasik berkenaan, manakala kesesakan lalu lintas berlaku di jalan raya berhampiran.
Yoichi Takeshita, 59, yang berkunjung bersama isterinya dari Wilayah Saitama berhampiran Tokyo, berkata: “Saya mendengar berita bahawa kita boleh melihat Yugama selepas lapan tahun dan ingin datang ke sini. Ini kali pertama saya melihatnya dan saya terpesona dengan keindahannya.”
Sekatan itu dikuatkuasakan sejak April 2018, apabila Agensi Meteorologi Jepun menaikkan tahap amaran gunung berapi kepada Tahap 2, dengan menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawah berkenaan.
Agensi itu menurunkan tahap amaran kepada Tahap 1 pada Mei tahun ini, iaitu tahap terendah dalam skala lima tahap, namun orang ramai masih perlu berwaspada kerana gunung berapi itu kekal aktif.
Kawasan tasik kawah itu akan dibuka kepada pengunjung sehingga 8 Nov sebelum ditutup untuk musim sejuk pada keesokan harinya.
-- BERNAMA-KYODO