BANGI, 13 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kegagalan tatanan antarabangsa dalam menangani penderitaan rakyat Palestin.
Beliau berkata masyarakat antarabangsa sepatutnya kekal teguh dalam menegakkan prinsip-prinsip demokrasi dan hak asasi manusia, namun tindak balas mereka terhadap penderitaan Palestin mendedahkan percanggahan dalam komitmen mereka untuk menentang penjajahan dan imperialisme.
“Betapa hipokritnya, kegagalan masyarakat antarabangsa. Saya perlu bercakap sebagai Perdana Menteri, saya faham perkara itu. Tetapi saya perlu menyuarakan rasa meluat yang teramat sangat terhadap kegagalan tatanan antarabangsa.
“Kita bercakap mengenai demokrasi, demokrasi siapa? Kita bercakap mengenai hak asasi manusia, manusia yang mana? Apabila manusia dilayan seperti haiwan dan hamba,” kata beliau berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara, yang diadakan bersempena dengan Kongres Sumud Sedunia 2026, di sini malam ini.
Anwar yang juga Penaung Sumud Nusantara, turut mempersoalkan sama ada layanan berbeza yang diberikan terhadap isu Palestin itu, didorong oleh hakikat bahawa rakyat Palestin merupakan orang Arab atau beragama Islam.
“Bagi saya, ia tidak penting. Apa yang penting ialah mereka juga manusia dan kita tidak boleh membiarkan penindasan yang berterusan serta kekejaman ini terus dilakukan ke atas nyawa yang tidak berdosa,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Malaysia yang pernah merasai pengalaman dijajah, memahami kepentingan untuk menentang sebarang bentuk ketidakadilan, justeru akan terus menyokong usaha untuk membantu rakyat Palestin di sebalik risiko dan cabaran yang terpaksa dihadapi.
Beliau turut mengulani komitmen penuh kerajaan MADANI terhadap perjuangan Palestin dan menggesa semua pihak agar terus menyumbang masa, tenaga dan sumber untuk membantu mereka (rakyat Palestin).
“Saya tahu risikonya, masalahnya, tetapi apalah (dibandingkan) masalah ini ketimbang masalah yang dihadapi oleh anak-anak (Palestin) yang menjerit mengharapkan dunia mendengar, tetapi dunia pekak.
“Amat mengaibkan sekali kalau kita kata kita tidak boleh melakukan apa-apa, kerana kita sibuk dengan dunia kita sendiri...Jadi, ambillah langkah yang perlu, usaha sekecil mana pun untuk membantu rakyat yang mengalami penyiksaan selama 70 tahun ini,” kata beliau.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada peserta antarabangsa yang terlibat dalam Gerakan Sumud Global, dengan menyifatkan mereka sebagai amat penting bagi memastikan seruan keadilan untuk Palestin terus bergema pada peringkat antarabangsa.
“Ia amat bermakna kerana anda adalah sebahagian daripada gerakan antarabangsa ini. Namun yang lebih penting, anda adalah sebahagian daripada suara hati nurani, suara kewarasan, yang melaungkan tuntutan keadilan.
“Anda tidak menunjukkan bahawa anda berputus asa. Anda menunjukkan keazaman anda...anda akan mempunyai suara kewarasan, suara hati nurani, suara yang menuntut kebebasan dan keadilan. Semoga Allah membimbing kita,” kata Anwar.
Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
-- BERNAMA