KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mempergiat usaha memperkasa sosioekonomi masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Lagong, Gombak menerusi Program Santuni MADANI dengan memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana, peluang pekerjaan dan pemeliharaan warisan tradisi.
Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata pemilihan kampung yang didiami masyarakat suku Temuan itu sebagai Kampung Santuni MADANI FRIM mencerminkan komitmen institut berkenaan dalam menyokong kesejahteraan penduduk setempat, termasuk komuniti yang turut berperanan melindungi kawasan berhampiran Hutan Simpan Bukit Lagong daripada pencerobohan.
“Kampung Orang Asli Bukit Lagong kini mempunyai 148 penduduk daripada 44 keluarga, berbanding hanya empat keluarga pada 2000.
“Penglibatan masyarakat itu turut menyumbang kepada usaha pemeliharaan kawasan hutan yang menjadi sebahagian daripada persekitaran FRIM, sekali gus menyokong komitmen institut ini dalam pemuliharaan warisan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Selain bergantung kepada hasil hutan seperti petai padi, petai papan, kerdas, jering dan durian, penduduk kini turut meneroka sumber pendapatan menerusi kebun sayur, penanaman akuaponik, penghasilan kraf tangan serta pakaian bercorak pewarna semula jadi.
Bagi menyokong pembangunan komuniti, FRIM menyediakan kemudahan Internet satelit Starlink di balai raya bagi merapatkan jurang digital, selain menyumbangkan peti sejuk beku, sistem pembesar suara, mesin rumput dan peralatan mengecat.
FRIM bekerjasama dengan Tok Batin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pengamal perubatan serta golongan belia menerusi Projek Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi.
Sebanyak 42 spesies tumbuhan telah direkodkan kegunaannya dalam perubatan, pemakanan, bahan binaan, pewarna semula jadi dan ritual kepercayaan, selain penduduk diberi latihan menyediakan spesimen herbarium menggunakan teknik simple pressing.
Usaha mengeratkan hubungan antara FRIM dengan komuniti itu turut dilaksanakan menerusi penglibatan penduduk dalam persembahan tarian sewang semasa Forest Merdeka Run 2025, selain Program Iftar Ramadan pada 2025 dan 2026 yang merangkumi aktiviti gotong-royong menyediakan juadah serta penyampaian sumbangan beras serta duit raya.
FRIM turut membantu menguruskan permohonan kutipan sampah domestik serta membiayai pembinaan pintu gerbang kampung yang dirasmikan oleh mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim semasa Program KUDAH pada 29 Nov 2025.
Bagi menangani isu pengangguran dan keciciran pendidikan, FRIM membuka peluang pekerjaan menerusi pelantikan seorang penduduk berkelayakan sebagai kakitangan FRIM serta mengupah penduduk tempatan sebagai jurupandu alam bagi semakan sempadan FRIM Forest Park Selangor.
“Penduduk juga diberikan upah untuk membaiki balai raya. Kesimpulannya, Program Santuni MADANI kendalian FRIM ini membuktikan kemajuan prasarana dan pendigitalan dapat disepadukan secara inklusif, di samping terus menghormati identiti budaya, memelihara kelestarian alam sekitar dan memperkasa taraf hidup masyarakat Orang Asli Bukit Lagong,” menurut kenyataan itu.
Program Santuni MADANI, yang diluluskan Jemaah Menteri pada 2024 menerusi pendekatan Satu Pemimpin Satu Kampung, bertujuan menggalakkan kerjasama antara pemimpin dengan penduduk bagi menangani isu sosioekonomi, termasuk kemiskinan, keciciran pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, penyalahgunaan dadah dan infrastruktur.
-- BERNAMA