BERLIN, 13 Okt (Bernama-dpa) -- Formula Satu (F1) akan kembali ke Afrika buat kali pertama sejak 1993 menerusi perjanjian selama 10 tahun untuk menganjurkan Grand Prix Afrika di Rwanda, menurut kenyataan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perjanjian jangka panjang itu menyaksikan perlumbaan pertama di negara berkenaan diadakan sebaik pembinaan litar baharu di Bugesera, kira-kira 40 kilometer di selatan ibu negara Kigali, siap yang dijangka pada awal 2030-an.
“Litar itu akan direka bentuk selaras dengan landskap semula jadi, memanfaatkan perubahan aras ketinggian kawasan berkenaan bagi mewujudkan pengalaman perlumbaan yang unik dan mencabar, selain menawarkan sudut tontonan yang menarik kepada peminat,” menurut kenyataan itu.
Kembali mengadakan perlumbaan di Afrika merupakan hasrat F1 sejak sekian lama.
“Hari ini merupakan detik bersejarah bagi Formula Satu,” kata Presiden F1 Stefano Domenicali.
“Dengan Rwanda menyertai kalendar perlumbaan mulai dekad akan datang, sukan ini akan dipertandingkan di setiap benua yang berpenghuni, sekali gus mendekatkan Kejohanan Dunia kepada peminat di seluruh dunia.”
Presiden Rwanda Paul Kagame berkata: “Rwanda berbangga menjadi tuan rumah Grand Prix F1 Afrika dan berkongsi detik ini dengan lebih 100 juta peminat di seluruh Afrika, kebanyakannya golongan muda yang berhak menyaksikan sukan ini di tempat sendiri dan melihat peluang untuk menjadi sebahagian daripadanya, sebagai jurutera, juruteknik, usahawan dan suatu hari nanti, pelumba.”
Rwanda menjadi tumpuan tahun lepas apabila negara itu menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Lumba Basikal Jalan Raya.
Pemilihan Rwanda mencetuskan kontroversi sejak awal apabila kumpulan hak asasi manusia menuduh negara itu dan Kagame, yang telah lama menjadi presidennya, melakukan “sportswashing”, iaitu menggunakan sukan untuk memperbaiki imej dan reputasi negara.
-- BERNAMA-dpa