KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah setakat ini telah menghantar pulang 5,915 pendatang tanpa izin ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan asing.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah berkenaan, warga Filipina mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 3,974 orang, diikuti Indonesia (1,629), Pakistan (132), China (132), Vietnam (25) dan lain-lain warganegara (23).
Menurut kenyataan itu penghantaran pulang terkini dilaksanakan semalam, melibatkan 280 pendatang asing warga Filipina dari Depot Imigresen Tawau menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.
“Kesemua pendatang asing itu terdiri daripada 193 lelaki, 51 perempuan, 16 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan, berusia lingkungan satu bulan sehingga 90 tahun.
“Sebanyak 36 kanak-kanak yang dihantar pulang itu diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah memaklumkan program pemindahan itu, turut menghantar pulang empat pendatang asing warga China dari Depot Imigresen Tawau menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China pada 10 Okt.
“Depot Imigresen Papar juga menghantar pulang 11 pendatang asing perempuan warga Filipina menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Manila, Filipina,” menurut JIM Sabah.
Kenyataan itu memaklumkan kesemua pendatang asing berkenaan selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah untuk proses penghantaran pulang.
JIM Sabah menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji pendatang asing dan melaporkan segera kegiatan berkaitan kepada pihak berkuasa menerusi saluran rasmi jabatan termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Sistem Pertanyaan Online (SPO).
-- BERNAMA