KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” jelas menzahirkan usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat menerusi peningkatan pendapatan, pengurangan cukai dan bantuan terus kepada isi rumah.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata belanjawan itu turut memperkasakan ekosistem sokongan rakyat merangkumi aspek pemilikan kediaman, pengangkutan serta sektor kesihatan.
Beliau berkata intipati pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas itu amat signifikan memandangkan manfaatnya akan dirasai rakyat seawal Januari 2027.
“Belanjawan 2027 sebenarnya sudah menjawab lima pertanyaan isi rumah, misalnya dari aspek kos sara hidup. Ia bukan hanya berkaitan dengan harga, sebaliknya ketidakupayaan pendapatan bergerak seiring dengan kenaikan perbelanjaan.
“Belanjawan itu mengakui kesenjangan berkenaan dengan menyatakan pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih sekitar 33.9 peratus. Atas sebab itu, kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, melibatkan lebih empat juta pekerja,” katanya kepada Bernama.
Mohd Khairie berkata kerajaan juga memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan manakala Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menaikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400.
“Bagi pekerja gig pula, kesannya diterjemahkan secara lebih konkrit. Pendapatan bersih median pemandu e-hailing dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan manakala penghantar p-hailing sehingga RM100 sebulan,” katanya.
Dalam aspek percukaian, beliau berkata kerajaan menganggarkan perubahan pelepasan dan kadar cukai bakal memberikan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
Menurut Mohd Khairie, perkara itu dapat dicapai susulan langkah kerajaan menaikkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.
“Kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM70,001 hingga RM100,000 pula dikurangkan kepada 18 peratus dan bagi RM100,001 hingga RM150,000 kepada 24 peratus.
“Pelepasan turut diperluas kepada penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, yuran pendidikan, kasut sukan serta beberapa perbelanjaan gaya hidup,” katanya.
Menurut beliau, Belanjawan 2027 juga memperuntukkan bantuan besar kepada golongan berkeluarga menerusi dana RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan memanfaatkan sembilan juta penerima.
“Selain itu, rakyat berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali, termasuk golongan M40,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairie berkata kerajaan perlu mengaplikasikan formula komunikasi yang lebih berkesan bagi memastikan setiap inisiatif yang ditawarkan benar-benar difahami dan sampai kepada rakyat.
“Kerajaan sebenarnya mempunyai banyak inisiatif tetapi dalam zaman lebihan maklumat, lebih banyak pengumuman tidak semestinya menghasilkan lebih banyak kefahaman.
“Formula komunikasi yang lebih berkesan ialah menukar bahasa kerajaan kepada bahasa rumah tangga dan bila pertanyaan isi rumah ini dapat dijawab dengan angka, tarikh dan contoh yang mudah,” katanya.
-- BERNAMA