KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap Geran Padanan Sukan (GPS) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 akan membantu badan induk sukan itu dan persatuan sukan lain.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata BAM sebelum ini banyak bergantung pada kerjasama dengan pihak swasta bagi menjayakan pelbagai program, justeru inisiatif GPS berjumlah RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat memberikan sokongan tambahan kepada BAM.
“Saya berharap dengan adanya geran seperti ini, ia dapat membantu persatuan sukan, termasuk BAM kerana kos sekarang semakin tinggi.
“Contohnya, untuk menguruskan BAM hari ini memerlukan kira-kira RM55 juta setahun,” katanya ketika ditemui semasa menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV hari ini.
Tengku Zafrul bagaimanapun berkata BAM masih belum mengenal pasti secara terperinci bagaimana persatuan itu boleh memanfaatkan GPS kerana mekanisme pelaksanaan serta kriteria kelayakan geran itu belum diperincikan.
Beliau berkata BAM perlu meneliti butiran lanjut sebelum menentukan bentuk manfaat yang akan diperoleh menerusi inisiatif itu.
Tengku Zafrul ketika mengulas mengenai peruntukan RM460 juta bagi pembangunan sukan menyifatkan ia sebagai perkembangan positif dan berharap sukan diberikan perhatian bukan sahaja dari sudut pencapaian atlet, malah sebagai industri yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata sukan mempunyai kesan limpahan ekonomi dan potensi yang wajar dimanfaatkan, sama seperti sektor lain termasuk hiburan.
“Sukan perlu dilihat sebagai sebuah industri yang tersendiri, bukan hanya dari sudut sukan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi membuka ruang kepada pembangunan industri sukan yang lebih mampan, termasuk melalui penglibatan sektor swasta dan pengukuhan nilai komersial sukan negara.
-- BERNAMA