Ekonomi 13/10/2026 04:45 PM

FIMM Tegur Dua Bekas Perunding Skim Unit Amanah Kerana Salah Laku

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
FIMM Tegur Dua Bekas Perunding Skim Unit Amanah Kerana Salah Laku

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) baru-baru ini telah memberi teguran kepada dua bekas perunding skim amanah unit (UTS) atas salah laku atau pelanggaran Kod Etika FIMM.

FIMM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa individu yang ditegur itu ialah bekas perunding UTS PMB Investment Bhd, Masafaruddin Mohd Shah dan bekas perunding UTS Kenanga Investors Bhd, So Kim Eng.

Mereka didapati melanggar Perenggan 3.1, 3.5, 4.3(f), dan 4.4(e) Kod Etika FIMM.

FIMM menyatakan bahawa salah laku Masafaruddin dikesan oleh bekas pengedarnya selepas beliau menerima borang pelaburan yang telah ditandatangani dan/atau dicap ibu jari terlebih dahulu daripada dua pelabur, serta melaksanakan pelaburan UTS berjumlah RM66,000 pada 16 Disember, 2022 dan RM50,000 pada 29 Disember, 2023, tanpa kebenaran pelabur terbabit.

Sementara itu, salah laku So dikesan oleh FIMM selepas beliau menerima borang pelaburan yang telah ditandatangani dan/atau dicap ibu jari terlebih dahulu pada 13 September, 2023 daripada seorang pelabur, dan mengemukakan borang pelaburan UTS pada 20 September, 2023 berjumlah RM54,250 tanpa kebenaran pelabur tersebut.

So juga telah menerima borang penebusan yang telah ditandatangani terlebih dahulu pada 4 Disember, 2023 daripada pelabur berkenaan dan mengemukakan borang penebusan UTS pada 6 Disember, 2023 berjumlah RM4,500, tanpa kebenaran pelabur itu.

FIMM menyatakan bahawa teguran awam ini dikenakan bagi menyampaikan mesej tegas bahawa persekutuan itu akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturannya.

“Langkah ini bertujuan untuk menghalang perunding UTS dan/atau Skim Persaraan Swasta (PRS) daripada melakukan sebarang salah laku serta mengingatkan mereka mengenai kepentingan mematuhi Peraturan FIMM semasa memasarkan dan mengedarkan UTS dan/atau PRS di Malaysia demi melindungi kepentingan orang ramai yang melabur,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA