KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Yingde Gases Group Co Ltd melalui unitnya, NovaAir Industrial Gases Sdn Bhd, menyasarkan untuk meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kilangnya di Kuala Lumpur kepada lebih 90 peratus dalam tempoh dua tahun.
NovaAir dalam satu kenyataan bersama memaklumkan Yingde Gases merancang untuk memperluas pelaburannya di Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, dengan hasrat menempatkan NovaAir dalam kalangan tiga pembekal gas industri utama di negara ini.
"Dengan ibu pejabat serantaunya di Malaysia, NovaAir juga merancang untuk meneroka peluang di Thailand, Vietnam dan Indonesia, sambil terus menumpukan kepada kecekapan operasi, kemampanan dan pembangunan bakat tempatan," menurut kenyataan itu.
NovaAir hari ini memaklumkan syarikat itu merasmikan unit pemisahan udara (ASU) cecair di kilangnya di Kuala Lumpur yang berkapasiti 300 tan sehari dan terletak di UMW High-Value Manufacturing Park (UMW HVMP) di Greater Kuala Lumpur.
Ini sekali gus memperkukuh bekalan domestik Malaysia untuk gas industri yang penting bagi sektor pembuatan bernilai tinggi dan mengukuhkan komitmen pelaburan jangka panjang kumpulan itu di Malaysia.
Kilang yang mula beroperasi pada Ogos 2026 itu, menyokong permintaan terhadap gas industri yang meningkat dalam ekosistem pembuatan Malaysia dan mengukuhkan kehadiran Yingde Gases di Asia Tenggara.
Mengulas perasmian pada hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata walaupun gas industri mungkin tidak kelihatan secara fizikal, tetapi ia merupakan elemen penting kepada industri yang memacu fasa pertumbuhan seterusnya di Malaysia.
“Pelaburan NovaAir memperkukuh asas penting ini, menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Hala Tuju Industri Kimia 2030, di samping membolehkan rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh, aktiviti perindustrian bernilai lebih tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar NovaAir Charlene Quek berkata syarikat itu berhasrat menjalin kerjasama erat dan secara jangka panjang dengan perniagaan tempatan serta menyumbang kepada aspirasi perindustrian negara Malaysia.
“Projek ASU cecair di Kuala Lumpur dan projek Alliance Steel secara bersama membuktikan keyakinan dan komitmen pelaburan berterusan kami dalam pasaran ini,” katanya.
Projek ASU cecair di Kuala Lumpur menghasilkan oksigen, nitrogen, argon dan oksigen berketulenan tinggi untuk industri hiliran, termasuk industri kimia, elektrik dan elektronik, minyak dan gas, pemprosesan makanan, pembuatan keluli serta pengeluaran bateri litium untuk sektor tenaga baharu.
Teknologi pemisahan udara proprietarinya dibangunkan dan dihasilkan sendiri oleh Yingde Engineering, anak syarikat kejuruteraan kumpulan itu, manakala sistem kawalan yang dipacu kecerdasan buatan membantu meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan jejak karbon kilang berkenaan.
-- BERNAMA