KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) -- Semua sekolah di seluruh Tawau akan ditutup mulai esok berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150, iaitu tahap tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah daripada kesan jerebu.
JPNS turut memaklumkan semua pentadbir sekolah di daerah Tawau diminta mengambil maklum dan mematuhi arahan penutupan itu.
"Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan agar memastikan anak-anak berada di tempat yang selamat, mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa kualiti udara melalui saluran rasmi," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pembukaan semula sekolah tertakluk kepada keadaan kualiti udara semasa serta arahan atau pemakluman rasmi selanjutnya daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPNS.
-- BERNAMA