Am 13/10/2026 04:29 PM

MMA Sabah Gesa Kerajaan Negeri Wujudkan Rumah Transit Pesakit Kanser Kanak-kanak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MMA Sabah Gesa Kerajaan Negeri Wujudkan Rumah Transit Pesakit Kanser Kanak-kanak

KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa kerajaan negeri menerajui usaha menubuhkan rumah transit untuk pesakit kanser kanak-kanak dan penjaga mereka, khususnya dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang perlu menjalani rawatan jangka panjang di sini.

Pengerusinya Dr Brandon Patrick Senagang berkata kemudahan itu amat diperlukan memandangkan Unit Onkologi Pediatrik di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah merekodkan kira-kira 80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun, dengan hampir separuh pesakit dari luar Kota Kinabalu.

Beliau berkata ramai pesakit berasal dari daerah jauh termasuk Pitas, Kota Marudu dan Kudat, manakala sebahagian besar didiagnosis menghidap leukemia akut yang memerlukan rawatan intensif sehingga lapan bulan.

“Bagi keluarga yang tinggal jauh dari hospital, cabarannya bukan sekadar berdepan penyakit, tetapi turut perlu mencari tempat penginapan, menanggung kos pengangkutan dan perbelanjaan harian, malah ada yang terpaksa meninggalkan pekerjaan serta ahli keluarga lain untuk tempoh panjang.

“Saya percaya Kerajaan Negeri Sabah mampu dan perlu menerajui usaha ini. Mereka anak-anak Sabah, dan kebanyakan keluarga yang terjejas berasal dari daerah paling terpencil serta kurang mendapat kemudahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Brandon berkata keadaan itu membebankan keluarga, khususnya dari kawasan luar bandar dan golongan berpendapatan rendah, sekali gus menjadikan penginapan mampu milik berhampiran hospital amat diperlukan.

Beliau berkata walaupun Rumah Ronald McDonald sedia ada menyediakan bantuan penginapan, kapasiti kemudahan itu tidak mencukupi untuk menampung semua keluarga pesakit onkologi pediatrik yang memerlukan penginapan jangka panjang kerana ia turut digunakan pesakit jabatan lain, termasuk onkologi dewasa.

"Rumah transit yang dicadangkan itu boleh diwujudkan dengan menyediakan atau mengubah suai premis kerajaan berhampiran hospital, atau melalui kerjasama dengan pertubuhan kebajikan, sektor swasta dan rakan strategik lain,” katanya.

Beliau berkata kemudahan khusus itu dapat mengurangkan keperluan perjalanan berulang, meringankan beban kewangan keluarga serta memastikan kanak-kanak dapat meneruskan dan melengkapkan rawatan tanpa kekangan penginapan.

Sementara itu, bersempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak, MMA Sabah hari ini menyampaikan 20 kit penjagaan kepada Unit Onkologi Pediatrik hospital berkenaan untuk pesakit kanser kanak-kanak yang baru didiagnosis.

Dr Brandon berharap sumbangan itu dapat memberikan keselesaan dan sokongan kepada kanak-kanak serta keluarga mereka dalam menghadapi perjalanan rawatan yang panjang dan mencabar.

-- BERNAMA