Dunia 13/10/2026 03:08 PM

Jersi Michael Jordan Final NBA 1998 Dijual Pada Harga US$14 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jersi Michael Jordan Final NBA 1998 Dijual Pada Harga US$14 Juta
(AP Photo/file)

ISTANBUL, 13 Okt (Bernama-Anadolu) -- Jersi yang dipakai legenda bola keranjang Michael Jordan ketika perlawanan akhir Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) 1998 dijual pada harga US$14 juta, sekali gus mencatat rekod bagi barangan memorabilia bola keranjang, menurut firma lelongan Hunt Auctions.

Jordan memakai jersi merah Chicago Bulls itu ketika perlawanan kedua siri akhir menentang Utah Jazz, sekali gus membantu pasukannya meraih kemenangan untuk menyamakan kedudukan siri kepada 1-1, lapor Anadolu Ajansi.

Chicago Bulls kemudian menjuarai siri akhir itu selepas enam perlawanan, sekali gus menghadiahkan Jordan gelaran juara NBA keenam dan terakhirnya.

Menurut Hunt Auctions, jersi berkenaan dibeli menerusi jualan persendirian oleh pelabur hartanah Miami, Ron Firman, lapor The Guardian.

Presiden Hunt Auctions David Hunt berkata kedudukan Jordan dalam pasaran barangan memorabilia sukan sememangnya diiktiraf, sambil menyifatkan pasaran itu kini berkembang menjadi kelas aset elit yang setanding dengan karya seni ikonik.

Jualan bernilai US$14 juta itu merupakan kedua tertinggi pernah direkodkan bagi jersi yang dipakai ketika perlawanan, selepas jersi Babe Ruth yang digunakan pada Siri Dunia 1932 dijual pada harga US$24.12 juta pada 2024.

Koleksi memorabilia Jordan daripada siri akhir NBA 1998 terus mendapat permintaan tinggi, dengan jersi yang dipakainya pada perlawanan pertama dijual pada harga kira-kira US$10.1 juta pada 2022, manakala jersi daripada perlawanan ketiga meraih kira-kira US$12.3 juta dalam satu lelongan bulan lepas.

-- BERNAMA-ANADOLU