KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Desaru Coast, Johor, bakal memperkukuh daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan menerusi pembukaan litar go-kart bertaraf antarabangsa bernilai RM10 juta yang dijadualkan beroperasi menjelang akhir 2026.
Projek yang dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Arina International Holding Pte Ltd, itu terletak di Riverside dan merupakan sebahagian daripada The Sports Arina, sebuah kompleks sukan dan rekreasi untuk golongan dewasa serta kanak-kanak.
Kemudahan itu merangkumi litar go-kart yang dilengkapi kart bertaraf profesional dan sistem pemasaan, selain litar dalaman berhawa dingin, KF KIDDY CIRCUIT, yang dikhususkan untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.
Pengunjung turut dapat menikmati kemudahan tempat duduk penonton, ruang makan dan kedai barangan. Pakej perlumbaan serta acara berkumpulan juga dirancang bagi menarik peminat sukan permotoran dan kumpulan korporat.
Arina International, yang menyokong penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) Singapura sejak 2008 serta mengendalikan litar KF1 Kranji sepanjang 960 meter di negara itu, telah memulakan kerja pembinaan projek berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd, Izrin Hashim berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Desaru Coast sebagai destinasi sukan dan rekreasi.
Beliau berkata pembangunan The Sports Arina akan melengkapi tarikan sedia ada, termasuk resort, padang golf, taman tema air dan pantai.
Sementara itu, tiga gelanggang pickleball terbuka di Riverside mula beroperasi pada Julai lalu, manakala tiga lagi dirancang untuk dibangunkan. Kemudahan padel pula akan diperkenalkan dalam fasa seterusnya.
Pengerusi Arina International, Richard Tan berkata Desaru Coast dipilih kerana mempunyai akses yang baik serta infrastruktur pelancongan bertaraf antarabangsa.
Beliau yakin kemudahan baharu itu mampu menarik pengunjung dari Malaysia dan Singapura, termasuk pemandu go-kart rekreasi serta peminat sukan permotoran berpengalaman.
-- BERNAMA