PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kemalangan bakal diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pindaan itu adalah antara tiga inisiatif utama Belanjawan 2027 yang disambut baik oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ bagi memperkukuh keselamatan jalan raya serta melindungi kebajikan rakyat.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh tindakan terhadap pesalah malah memastikan mangsa dan keluarga yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MOT dan JPJ turut menyambut baik pelaksanaan sistem telematik secara mandatori bagi kenderaan perdagangan untuk memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko termasuk potensi integrasi dengan alat pengesan alkohol.
“Pelaksanaan secara sukarela sehingga 2027 akan memberi ruang kepada pengendali kenderaan perdagangan membuat persediaan sementara pembangunan pangkalan data pemandu dilaksanakan bagi menyokong penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya.
Aedy Fadly berkata JPJ turut menghargai pengumuman bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi dan bas sekolah yang akan dilaksana mulai minggu hadapan menggunakan hasil kutipan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri H.
"Inisiatif ini membuktikan bahawa hasil kutipan JPJ turut disalurkan kembali untuk manfaat rakyat khususnya membantu golongan pemandu yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan pengangkutan negara," katanya.
MOT dan JPJ turut bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi pemeriksaan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terus terpelihara.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak 28 kes kematian akibat kemalangan membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah direkodkan setakat Ogos tahun ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan dan penyediaan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan oleh PERKESO.
-- BERNAMA