KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyambut baik pengumuman pengurangan cukai pendapatan korporat sebanyak satu peratus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di dalam Belanjawan 2027.
Menurut SAMENTA, pengurangan tersebut dijangka memberikan penjimatan cukai sehingga RM6,000 kepada lebih 300,000 PKS.
Presiden Kebangsaan SAMENTA Datuk William Ng berkata pengurangan kadar cukai korporat keutamaan kepada 14 peratus bagi RM150,000 pertama pendapatan boleh cukai dan 16 peratus bagi julat RM150,001 hingga RM600,000 akan memberikan mudah tunai segera kepada perniagaan untuk membuat pelaburan semula.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan langkah memberi pengecualian kepada PKS dengan perolehan tahunan di bawah RM50 juta daripada mandat gaji minimum baharu sebanyak RM2,000 yang akan berkuat kuasa pada Jun 2027.
“Ini memberi ruang masa kepada firma-firma kecil untuk meningkatkan produktiviti dan melaksanakan automasi sebelum menanggung kos gaji minimum yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Ng turut memuji komitmen kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang E-Dagang bagi mengawal selia platform e-dagang asing dan penjual rentas sempadan, sekali gus melindungi pekerjaan tempatan dan memulihkan persaingan yang adil bagi perniagaan Malaysia.
Pada masa sama, SAMENTA turut menyokong peningkatan jumlah kemudahan pembiayaan dan jaminan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion, yang disokong oleh kapasiti jaminan berjumlah RM32 bilion daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), bagi mengatasi isu akses kepada kredit untuk PKS yang mempunyai sedikit atau tiada cagaran.
Ng menambah peruntukan sebanyak RM30 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang menyasarkan 4,000 PKS bagi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi operasi, akan mempercepatkan penggunaan teknologi di peringkat akar umbi.
“Peruntukan sebanyak RM60 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan RM1 bilion bagi pembiayaan eksport Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) adalah tepat pada masanya untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memperluas eksport mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim, Ketua Liputan dan Ketua Pegawai Kewangan Standard Chartered Malaysia Mushahid Syed berkata pihak bank menyokong kemudahan pembiayaan tambahan sebanyak RM5 bilion kepada PKS yang terjejas akibat konflik Asia Barat dan pembiayaan mikro sebanyak RM6.6 bilion pada 2027 dalam Belanjawan 2027.
Beliau berkata pihak bank menyambut baik peruntukan RM2.1 bilion yang akan disalurkan melalui Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Dana Pemacu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Dana Syarikat Peringkat Pertengahan Khazanah Nasional bagi memperkukuh syarikat peringkat pertengahan dalam sektor seperti elektrik dan elektronik, teknologi digital, aeroangkasa serta peranti perubatan, selain insentif kewangan dan cukai lain bagi menyokong pertumbuhan PKS.
Mushahid turut menyatakan sokongan kepada perniagaan Bumiputera, termasuk peruntukan RM7.5 bilion dalam perolehan kerajaan khusus untuk kontraktor G1-G4, pembiayaan RM1 bilion melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), RM2 bilion bagi memperkukuh syarikat Bumiputera, dan RM250 juta di bawah Dana Ciptawan untutk menyokong syarikat Bumiputera bersaiz sederhana, selain pengurangan cukai dan pemberian geran.
Syarikat pembiayaan teknologi ICT Zone Asia Berhad turut menyambut baik langkah dalam Belanjawan 2027 untuk mengurangkan kos pelaburan teknologi dan mempercepatkan penggunaan AI dalam kalangan PKS, selain menggesa agar perkhidmatan penyewaan serta langganan peranti turut melayakkan diri untuk manfaat tersebut, setara dengan pembelian secara terus iaitu apabila program sokongan dilaksanakan.
Pengarah Urusan dan CEOnya, Tommy Lim Kok Kwang berkata langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 itu menjadikan teknologi lebih murah untuk dimiliki, namun bagi kebanyakan perniagaan kecil, bayaran pendahuluan masih lagi menjadi satu cabaran utama.
“Elaun modal mungkin membantu pada akhir tahun, manakala langganan membolehkan pembayaran diagihkan bermula dari bulan pertama serta merangkumi penyelenggaraan dan sokongan.
“Jika program sokongan membolehkan perniagaan menyewa selain membeli, setiap perniagaan boleh membuat pilihan yang sesuai dengan aliran tunai mereka,” katanya.
-- BERNAMA