Am 10/10/2026 12:39 AM

Belanjawan 2027: Pelaburan Strategik, Projek Berimpak Tinggi Perkukuh Pembangunan Negeri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Pelaburan Strategik, Projek Berimpak Tinggi Perkukuh Pembangunan Negeri
- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 memperkukuh agenda pembangunan negeri menerusi peruntukan berbilion ringgit, pelaburan strategik dan pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pengumuman itu disambut baik oleh kerajaan negeri yang melihat pelbagai inisiatif digariskan sebagai langkah memperkukuh pembangunan sosioekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Di SABAH, peningkatan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada RM18.6 bilion bagi tahun depan berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan pembangunan negeri itu dilaksanakan secara seimbang dan menyeluruh.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan MADANI kelima itu sebagai dokumen kewangan komprehensif yang berupaya meringankan beban kewangan rakyat menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan pelbagai lapisan masyarakat.

“Belanjawan ini juga membuktikan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara kita, walaupun berdepan kesan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat,” katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri di Menara Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, SELANGOR dijangka menerima manfaat daripada pelaburan strategik bernilai tinggi yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027, termasuk peruntukan RM1.25 bilion bagi pembangunan pusat data dan aset logistik di Elmina, selain kerjasama antara Khazanah Nasional Bhd. dengan kerajaan negeri dalam industri semikonduktor.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus meningkatkan pendapatan dan daya saing rakyat menerusi latihan kemahiran, teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata belanjawan itu turut memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan infrastruktur asas di Selangor, termasuk peruntukan RM100 juta bagi menangani isu banjir kilat di Lembah Klang serta pembinaan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang.

“Terima kasih kepada PMX atas inisiatif yang memberi manfaat kepada Selangor. Insya-Allah, Gombak akan mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan Belanjawan MADANI 2027 bagi membawa suara dan keperluan rakyat.

“Semoga segala peruntukan dilaksanakan dengan cekap, telus dan bersasar demi kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Di MELAKA, lima projek yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh pembangunan modal insan, kemudahan perumahan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh berkata projek berkenaan ialah Melaka Centre of Excellence, projek pemulihan sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai, projek perumahan rakyat di Paya Rumput, pembinaan Pusat PERMATA Kurnia serta balai polis baharu di Sungai Rambai.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pengumuman pelbagai peruntukan serta inisiatif pembangunan yang memberikan manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salhah berkata kerajaan negeri turut mengambil perhatian terhadap pelbagai inisiatif nasional, termasuk bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, pengukuhan perlindungan sosial, penambahbaikan kemudahan pendidikan serta sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut selari dengan usaha kerajaan negeri menerusi Melaka Sayang Rakyat untuk memperkukuh kebajikan pekerja dan kesejahteraan masyarakat.

“Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan akan meneliti serta menyelaraskan tindakan susulan terhadap pengumuman Belanjawan 2027, khususnya yang melibatkan pelaksanaan projek dan inisiatif pembangunan di Melaka, berdasarkan mekanisme serta ketetapan yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

-- BERNAMA