KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- MERCY Malaysia kini memperluas Respons Kecemasan Jerebu ke seluruh negara bagi menyalurkan maklumat kesihatan awam dan bantuan praktikal kepada komuniti terjejas khususnya golongan rentan.
Kenyataan organisasi kemanusiaan itu hari ini memaklumkan inisiatif tersebut meneruskan usaha yang dilaksanakan di Sarawak yang menyokong advokasi kesihatan awam, kesedaran komuniti dan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat jerebu.
“Haze kini menjejaskan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur. Tahap keseriusan berbeza mengikut lokasi namun risiko terhadap golongan rentan masih wujud.
“Golongan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu yang mempunyai masalah pernafasan atau sakit jantung berdepan risiko kesihatan paling tinggi,” menurut kenyataan itu.
Menjelang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL), MERCY Malaysia kini membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan keperluan berkaitan jerebu di bahagian barat negara dan lokasi lain dengan memantau keadaan semasa, menilai keperluan yang timbul dan menyelaras tindakan bersama dengan pihak berkepentingan berkaitan.
Sebagai sebahagian daripada usaha MERCY Malaysia, organisasi itu telah menyediakan Kit Respons Kecemasan Jerebu yang mengandungi loratadine, tisu basah, larutan garam normal atau normal saline, lozeng, pelitup muka KF94, beg kecil lut sinar dan risalah maklumat kesihatan.
MERCY Malaysia turut menggesa pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri serta agensi berkaitan supaya memperkukuh penyelarasan, mengeluarkan nasihat awam yang jelas dan tepat pada masanya, membantu golongan berisiko tinggi serta mempercepat penyaluran bantuan kepada komuniti terjejas.
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata usaha menangani jerebu memerlukan tindakan bersama melibatkan agensi kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan orang ramai.
"Jerebu bukanlah sesuatu yang boleh ditangani oleh mana-mana agensi, komuniti atau individu secara bersendirian. Ia memerlukan tindakan kolektif sebagai sebuah negara,” katanya yang turut menggesa orang ramai agar mematuhi nasihat kesihatan, melindungi keluarga, prihatin dengan keadaan jiran dan membantu komuniti paling terjejas.
Beliau berkata kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan maklumat, perlindungan dan bantuan dapat disalurkan kepada komuniti terjejas dengan segera.
MERCY Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan pihak korporat bagi menyokong penyediaan serta pengagihan kit respons kecemasan jerebu, usaha advokasi kesihatan awam dan bantuan kepada komuniti terjejas.
-- BERNAMA