KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 dijangka menyalurkan semula hasil penjimatan daripada pembaharuan subsidi bersasar dan kutipan hasil yang lebih kukuh kepada rakyat dan perniagaan selain mengekalkan disiplin fiskal, menurut PwC Malaysia.
Ketua Percukaiannya Steve Chia berkata hasil tambahan itu akan membantu membiayai pengurangan cukai meskipun subsidi bahan api dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion susulan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
“Perolehan Kerajaan Persekutuan bagi 2026 kini diunjurkan berjumlah RM363.6 bilion iaitu RM20.5 bilion lebih tinggi daripada anggaran asal sebanyak RM343.1 bilion dan dijangka meningkat lagi kepada RM380.8 bilion pada 2027.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan pendekatan progresif dalam reka bentuk langkah ini. Pelepasan cukai terutamanya memanfaatkan golongan berpendapatan sederhana serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala kadar cukai bagi individu yang berpendapatan melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu langkah paling menonjol dalam belanjawan itu ialah penambahbaikan insentif Hab Perkhidmatan Global yang menawarkan kadar cukai khas sebanyak lima peratus sehingga 30 tahun.
Katanya, ia merupakan tiga kali ganda tempoh maksimum semasa atau dua kali ganda tempoh yang ditawarkan di bawah insentif setara Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Langkah berkenaan memberi jaminan jangka panjang kepada kumpulan syarikat untuk menempatkan ibu pejabat serantau, pusat perkhidmatan bersama dan pusat perbendaharaan di Malaysia,” tambahnya.
Sementara itu, Wong & Partners menyifatkan Belanjawan 2027 secara keseluruhannya sebagai belanjawan yang menggalakkan pelaburan dan meningkatkan produktiviti dengan manfaat cukai langsung terbesar disasarkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pelabur strategik serta syarikat yang melabur dalam automasi, pendigitalan dan aset hijau.
Firma guaman itu menjelaskan cadangan untuk membenarkan pengilang menuntut semula cukai jualan yang dibayar bagi jentera, alat ganti dan peralatan yang diperoleh daripada peniaga atau pengedar tempatan merupakan antara cadangan penting dalam Belanjawan 2027.
“Kemudahan bayaran balik cukai jualan ini turut merangkumi bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan produk farmaseutikal, makanan haiwan, baja dan racun perosak.
“Cadangan ini akan membantu mengurangkan kesan ‘cukai berlapis’ dalam rantaian bekalan serta menggalakkan pembelian daripada pengedar dan perniagaan tempatan,” katanya.
-- BERNAMA