Am 09/10/2026 10:51 PM

Belanjawan 2027: PETRA Terima RM5.33 Bilion Perkukuh Infrastruktur Air, Tenaga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: PETRA Terima RM5.33 Bilion Perkukuh Infrastruktur Air, Tenaga
Kredit: FB - Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diperuntukkan RM5.33 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh infrastruktur air dan tenaga, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan itu turut memberi tumpuan kepada usaha menjamin bekalan air bersih, meningkatkan daya tahan infrastruktur asas dan memperluas penggunaan tenaga bersih.

Beliau berkata enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM336 juta telah siap manakala 82 projek lagi sedang dilaksanakan mengikut jadual, termasuk RTB Bandaraya Kuching Fasa 2 serta Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan dan PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.

“Di Kelantan, Projek Empangan Lebir berpotensi mengurangkan risiko banjir kepada 320,000 penduduk dan membekalkan 337 juta liter air mentah sehari kepada 353,222 penduduk. Usaha meningkatkan bekalan air di negeri itu turut merangkumi pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan penggantian paip uzur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkenaan berkata Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Fasa 2 bernilai RM2.5 bilion akan dilaksanakan bagi menggantikan 1,900 kilometer paip kritikal yang usang manakala sistem pembetungan awam di Pulau Tuba, Langkawi, Pulau Redang dan Pulau Tioman akan dinaik taraf segera. 

Dalam usaha memperkukuh bekalan air antara negeri, Fadillah berkata Perjanjian Bekalan Air Pukal antara Perak dan Pulau Pinang turut dimeterai bagi tempoh 40 tahun, selain merancang pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kuala Terengganu.

Bagi sektor tenaga, beliau berkata kerajaan menaikkan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik.

“Di Sabah, pemasangan Sistem STATCOM di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud akan dilaksanakan dengan kos RM204 juta, selain meneruskan projek Talian Penghantaran Southern Link bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu,” katanya.

Fadillah berkata Belanjawan 2027 turut memperuntukkan pelaburan RM1.5 bilion bagi pembangunan taman solar di bangunan kerajaan manakala kapasiti 150 megawatt (MW) menerusi projek Solar Berskala Besar (LSS) 6 dikhususkan kepada syarikat Bumiputera.

Dalam aspek pengukuhan grid dan kecekapan tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur RM15 bilion bagi memperkukuh grid nasional manakala UEM Lestra diperuntukkan RM1 bilion untuk pelaksanaan projek penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt di Johor.

“Selain itu, Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bernilai RM1 bilion disediakan bagi menyokong projek hijau manakala program NUR MADANI menawarkan rebat sehingga RM200 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga,” katanya.

Beliau berkata penglibatan PETRONAS dan TNB dalam Grid Kuasa ASEAN turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh keterjaminan tenaga serta kerjasama dan kesalinghubungan tenaga serantau.

Oleh itu, bagi memperluas akses kepada kemudahan asas, TNB dan syarikat telekomunikasi akan bekerjasama dengan kerajaan melalui penyatuan dana kerajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mempercepat penyediaan bekalan elektrik di kawasan luar bandar serta memperluas capaian Internet.

Sementara itu, Fadillah berkata menerusi Belanjawan 2027, Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian oleh Kerajaan MADANI, dengan Sabah menerima RM18.7 bilion manakala Sarawak RM16.2 bilion bagi memperkukuh kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

Beliau berkata antara usaha utama ialah RM1.5 bilion Pemberian Khas interim di bawah komitmen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif serta RM600 juta bagi bekalan elektrik di Sabah.

Fadillah turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” hari ini yang menekankan pembangunan perlu seimbang dengan nilai kemanusiaan dan keperluan rakyat.

“Bagi Kerajaan MADANI, pembangunan bukan sekadar angka dan peruntukan. Apa yang lebih penting, rakyat dapat menikmati kemudahan yang lebih baik, kehidupan yang lebih selesa dan peluang masa depan yang lebih cerah,” katanya menerusi hantaran di platform X.

-- BERNAMA