Am 09/10/2026 10:48 PM

FOMCA: Bantuan Tunai, Subsidi Bersasar Ringankan Beban Isi Rumah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
FOMCA: Bantuan Tunai, Subsidi Bersasar Ringankan Beban Isi Rumah

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) --Kesinambungan bantuan tunai dan subsidi bersasar penting bagi meringankan beban kewangan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata bantuan berkenaan amat penting kepada golongan B40, isi rumah M40 berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang mempunyai ramai tanggungan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata FOMCA menyambut baik kesinambungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Jualan RAHMAH dan Agro MADANI, selain usaha memperluas akses kepada barangan keperluan asas.

Beliau berkata langkah menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, selain penambahbaikan pelepasan cukai individu, berpotensi meningkatkan pendapatan boleh guna dan kuasa beli pekerja.

Bagaimanapun, keberkesanan langkah berkenaan perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia membantu rakyat menangani kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, termasuk keperluan asas, perumahan dan pengangkutan.

Saravanan berkata kesinambungan pas perjalanan mampu milik My50, penambahan tren, pemulihan infrastruktur rel dan penambahbaikan perkhidmatan bas juga berpotensi mengurangkan perbelanjaan pengangkutan isi rumah.

Menurutnya perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, mudah diakses dan boleh dipercayai dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, sekali gus menjimatkan perbelanjaan pengguna bagi petrol, tol, parkir dan penyelenggaraan kenderaan.

Dalam pada itu, FOMCA mengalu-alukan peruntukan untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, menyokong petani dan nelayan serta memperkukuh rantaian bekalan makanan.

Saravanan berkata usaha itu penting bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import makanan, khususnya barangan asas yang berpotensi dihasilkan secara mampan dalam negara.

“Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap import makanan, khususnya barangan asas yang boleh dihasilkan secara mampan dalam negara. Namun, peningkatan pengeluaran mesti membawa kepada bekalan yang stabil dan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata peningkatan pengeluaran domestik perlu disokong oleh pengurusan rantaian bekalan yang cekap, sistem pengedaran berkesan dan pemantauan harga bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati pengguna.

Saravanan berkata peningkatan bantuan kepada OKU, penjaga pesakit terlantar dan murid berkeperluan khas turut menjadi langkah positif dalam memperkukuh perlindungan sosial.

Bagaimanapun, bantuan kewangan perlu disertai akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan kemudahan awam mesra OKU bagi memastikan golongan berkenaan tidak terus berdepan halangan dalam kehidupan seharian.

Mengulas Belanjawan MADANI 2027 secara keseluruhan, Saravanan berkata FOMCA menyambut baik tumpuan yang diberikan kepada keperluan rakyat, yang berpotensi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata keberkesanan belanjawan itu perlu diukur berdasarkan kecekapan pelaksanaan, keberkesanan penyampaian bantuan kepada kumpulan sasar serta kesan sebenar dasar kerajaan terhadap perbelanjaan dan kesejahteraan isi rumah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA