IPOH, 9 Okt (Bernama) -- Seorang anggota polis bantuan (peronda PLUS) maut dalam kemalangan di Kilometer 231.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Taiping pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP S. Saravanan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 8.05 pagi.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku kira-kira 7 pagi apabila kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berumur 23 tahun terlanggar anggota polis bantuan semasa dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor menuju ke Bayan Lepas, Pulau Pinang.
"Akibat daripada kemalangan tersebut, anggota polis bantuan berumur 36 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian itu tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Shahrin Mohamad di talian 017-9266 286.
-- BERNAMA