KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM400 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Belanjawan 2027 akan dimanfaatkan untuk memperluas kawasan hijau, menaik taraf kemudahan awam serta memelihara warisan ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata peruntukan itu merangkumi usaha mewujudkan 120 kawasan hijau baharu, memulihara taman sedia ada dan meningkatkan kemudahan awam demi kesejahteraan warga kota.
Menurut beliau, DBKL juga akan menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung, meneruskan program Lestari Niaga serta mengecat semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) mulai tahun depan.
“Ini termasuk menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung yang akan dilaksanakan oleh DBKL tahun depan, selain meneruskan program Lestari Niaga serta mengecat semula PPR dalam usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat, hari ini.
Hannah turut menyambut baik pengumuman berhubung pewartaan baki tanah seluas 40 hektar di Bukit Kiara sebagai Taman Persekutuan untuk kegunaan awam pada tahun depan.
“Bukit Kiara telah diwartakan sebagai Taman Persekutuan sebelum ini, meliputi kawasan seluas lebih 200 ekar (81 hektar), tetapi baki 40 hektar lagi akan diwartakan sebagai Taman Persekutuan pada tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pengecualian duti hiburan bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai tahun depan berpotensi membantu merancakkan industri kreatif tempatan.
Menurut Hannah, langkah itu dapat memberi manfaat kepada penggiat seni tempatan yang menganjurkan pelbagai program di Wilayah Persekutuan.
“Artis-artis tempatan banyak mengadakan program di Wilayah Persekutuan dan ini akan membantu pihak industri,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata pengecualian berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh industri kreatif tempatan menerusi Belanjawan 2027.
Kerajaan turut menyediakan peruntukan lebih RM130 juta bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.
-- BERNAMA