Am 09/10/2026 09:13 PM

KPDN Komited Pastikan Inisiatif Belanjawan 2027 Beri Manfaat Kepada Rakyat - Armizan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Komited Pastikan Inisiatif Belanjawan 2027 Beri Manfaat Kepada Rakyat - Armizan
Kredit: FB Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited dalam memastikan pelaksanaan inisiatif dalam Belanjawan 2027 khususnya dalam menangani kos sara hidup dan memperkukuh perlindungan pengguna.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementerian itu menyambut baik peruntukan dan inisiatif diumumkan.

"KPDN menyambut baik peruntukan dan inisiatif bagi memperkukuh usaha menangani kos sara hidup, membendung ketirisan melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan serta memperkasakan perlindungan pengguna,” katanya. 

Terdahulu ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM750 juta bagi melaksanakan 35,000 siri Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI di seluruh negara tahun depan.

Armizan berkata jumlah itu merangkumi 30,000 siri Jualan Rahmah MADANI kendalian KPDN serta 5,000 siri Jualan Agro MADANI di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Beliau berkata Program Jualan Rahmah MADANI akan diperluas ke kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain membantu peniaga kecil manakala RM1.1 bilion diperuntuk bagi memperkukuh keupayaan operasi agensi penguatkuasaan.

Potongan cukai akan diberikan kepada penderma makanan dan peralatan kepada Ihsan Food Bank (i-FB) dari 2027 hingga 2030 selain kerajaan memperuntukkan RM250 juta bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedalaman termasuk enam lokasi baharu serta RM10 juta untuk meneruskan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) bagi memasarkan produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke pasaran digital serta antarabangsa.

Sementara itu, di TERENGGANU, peniaga di negeri itu diingatkan tidak menaikkan harga barangan keperluan secara tidak munasabah susulan pengumuman inisiatif meringankan kos sara hidup dalam Belanjawan 2027.

Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga secara melampau, dengan pemantauan dijalankan oleh anggota penguat kuasa di setiap daerah.

"KPDN berharap tiada peniaga di Terengganu mengambil kesempatan sedemikian, lebih-lebih lagi selepas pelancaran inisiatif Pasar Patuh yang menggalakkan peniaga mematuhi harga dan ketetapan yang ditetapkan," katanya. 

Beliau ditemui pemberita pada Program Jelajah Kasih Kembara Pengguna Bersama Komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Pergam, Chukai hari ini yang menyaksikan 175 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli Semaq Bari menerima sumbangan barangan keperluan asas i-FB bernilai RM8,750.

-- BERNAMA