KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM240 juta disediakan bagi persiapan untuk menganjurkan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau semasa membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” hari ini berkata temasya sukan gemilang itu harus dimanfaatkan untuk mengangkat wibawa negara.
“Tahun hadapan, kita akan kembali menyambut negara tetangga selaku tuan rumah bagi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
“Temasya gemilang ini juga harus dimanfaatkan (untuk) membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” kata beliau ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dari 18 hingga 29 Sept manakala Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Okt.
Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM460 juta diberikan untuk pembangunan sukan negara.
Peruntukan tersebut termasuk memperkasakan program sukan berprestasi tinggi dan Road to Gold, program atlet para dan sukan orang pekak serta menyelenggara fasiliti sukan di seluruh negara.
Anwar berkata kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta untuk penyediaan Geran Padanan Sukan bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Peruntukan bagi aktiviti sukan murid sekolah turut ditambah 50 peratus kepada RM27 juta ringgit. Ini akan memanfaat lebih 4.6 juta murid di 10,000 sekolah di seluruh negara,” kata beliau.
Pada masa sama, Anwar mengucapkan tahniah dan menzahirkan penghargaan kepada kontinjen Malaysia susulan kejayaan membawa pulang sembilan pingat emas, tujuh perak dan 16 gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, baru-baru ini.
“Kepada semua atlet, jurulatih dan petugas, tahniah serta terima kasih kerana mengharumkan nama negara,” kata beliau.
Kejayaan di Jepun menyaksikan kontinjen negara menyamai jumlah pingat emas yang diraih pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
-- BERNAMA