Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 9 Okt (Bernama) -- Pihak berkuasa Singapura bekerjasama rapat dengan penganjur rasmi Formula Satu (F1), Singapore GP Pte Ltd (SGP), bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan terpelihara sepanjang hujung minggu perlumbaan susulan jerebu rentas sempadan berterusan yang menjejaskan republik itu.
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) memaklumkan pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Pasukan Petugas Jerebu antara agensi kerajaan yang diterajui Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) bagi memantau keadaan semasa.
STB memaklumkan pelan tindakan akan dilaksanakan berdasarkan tahap jerebu bagi memastikan perlumbaan dan acara hiburan sepanjang hujung minggu dari 9 hingga 11 Okt berjalan lancar.
"Sekiranya jerebu menimbulkan masalah berkaitan jarak penglihatan, kesihatan awam atau operasi, agensi berkaitan akan bekerjasama rapat dengan SGP untuk menilai keadaan sebelum sebarang keputusan bersama mengenai acara itu dibuat," menurut STB sebagai menjawab pertanyaan Bernama pada Jumaat.
STB memaklumkan pelan kontingensi itu menetapkan langkah yang perlu diambil berdasarkan pelbagai paras Indeks Pencemaran Udara (PSI) dan PM2.5.
Langkah itu termasuk memastikan mereka yang berada di litar menerima maklumat terkini mengenai perkembangan jerebu, selain menyediakan akses kepada bantuan perubatan dan pelitup muka N95 di lokasi sekiranya diperlukan.
Setakat 6 petang, data NEA menunjukkan bacaan PSI 24 jam ialah 192 di kawasan tengah, 187 di barat, 167 di selatan, 166 di timur dan 135 di utara.
Bacaan PSI 24 jam menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA, dengan bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 sebagai berbahaya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SGP dalam kenyataan memaklumkan ketika ini tiada rancangan untuk mengubah suai aktiviti hiburan sempena Grand Prix Singapura 2026.
"Kami akan terus memantau dengan teliti semua keadaan cuaca termasuk jerebu sebagai sebahagian daripada perancangan dan operasi standard acara kami.
"Sekiranya terdapat sebarang perubahan, kami akan memaklumkannya menerusi saluran rasmi kami dengan segera," katanya.
-- BERNAMA