Dunia 09/10/2026 09:54 PM

Hampir 50,000 Wanita, Kanak-kanak Perempuan Maut Atau Cedera Parah Di Gaza Sejak Oktober 2023 - Wanita PBB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hampir 50,000 Wanita, Kanak-kanak Perempuan Maut Atau Cedera Parah Di Gaza Sejak Oktober 2023 - Wanita PBB
-- AP Photo/Jehad Alshrafi

GENEVA, 9 Okt (Bernama-Anadolu) -- Hampir 50,000 wanita dan kanak-kanak perempuan terbunuh atau cedera parah di Gaza sejak Oktober 2023, bersamaan seorang daripada setiap 21 wanita dan kanak-kanak perempuan di enklaf itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik  Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  pada Jumaat .

"Lebih 38,000 maut dan 11,700 lagi mengalami kecederaan yang amat teruk sehingga terpaksa hidup dengan ketidakupayaan sepanjang hayat mereka," kata Ketua Tindakan Kemanusiaan PBB Wanita, Sofia Calltorp kepada pemberita di Geneva.

Beliau berkata sebahagian besar mangsa terkorban semasa dua tahun pertama perang, namun keganasan terus berlaku biarpun perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa setahun lepas, dengan 277 wanita dan kanak-kanak perempuan maut sejak Oktober 2025.

Hampir satu juta wanita dan kanak-kanak perempuan terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, manakala hampir kesemuanya kekal berada dalam pelarian, dengan kebanyakannya tinggal di dalam khemah atau di celah-celah runtuhan kediaman mereka, katanya.

Calltorp turut memberi amaran bahawa jumlah isi rumah yang diketuai wanita meningkat dua kali ganda, dengan wanita kini mengetuai satu daripada setiap empat isi rumah di Gaza.

Sementara itu, pemotongan dana menjejaskan organisasi wanita secara serius, dengan 13 daripada 14 organisasi yang ditinjau melaporkan mereka tidak lagi mampu memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

Kesemua organisasi yang ditinjau melaporkan peningkatan dalam keganasan berasaskan gender, kemiskinan dan gangguan kesihatan mental sejak 2025, manakala 13 melaporkan peningkatan kes perkahwinan kanak-kanak.

PBB Wanita menggesa pelaksanaan penuh gencatan senjata, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kebertanggungjawapan atas sebarang pelanggaran.

"Apa yang kami temukan ialah jumlah penderitaan kolektif yang mengerikan, kesakitan yang amat mendalam, serta tahap daya tahan dan kekuatan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh mana-mana wanita," kata Calltorp.

-- BERNAMA-ANADOLU