Am 09/10/2026 10:03 PM

Empat RUU, Belanjawan 2027 Jadi Tumpuan Persidangan Terakhir DUN Sarawak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Empat RUU, Belanjawan 2027 Jadi Tumpuan Persidangan Terakhir DUN Sarawak
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar (duduk, tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Pre-Council Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Ibu Pejabat PBB, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 9 Okt (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bakal berlangsung dari 12 hingga 21 Okt depan akan melibatkan pembentangan empat rang undang-undang (RUU) termasuk Belanjawan Sarawak 2027.

Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata persidangan itu adalah yang terakhir bagi penggal semasa. 

“Ini persidangan DUN terakhir... jadi, ia amat penting,” katanya pada sidang media prapersidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan RUU Perbekalan 2027 manakala RUU Perbekalan Tambahan 2026 dibentang oleh Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pula akan membentangkan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 manakala RUU Hari Kelepasan Am (Pindaan) dibentang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Mohamad Asfia berkata pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak bertujuan memperkemas tadbir urus dan membolehkan penubuhan arkib peringatan bagi memelihara bahan berkaitan tokoh, peristiwa, warisan, budaya serta sejarah Bumi Kenyalang. 

“Pindaan Ordinan Hari Kelepasan Am pula bertujuan memperjelas mekanisme cuti gantian apabila dua hari kelepasan am bertindih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata DUN Sarawak akan mengadakan pemilihan senator baharu berikutan tempoh perkhidmatan Michael Mujah Lihan berakhir pada 10 Dis 2026.

-- BERNAMA