KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Langkah kerajaan menawarkan jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 akan meningkatkan kapasiti, kesinambungan dan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan awam di seluruh negara, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presiden MMA Dr L. Sivanaesan berkata langkah itu turut merangkumi jaminan pelantikan tetap kepada graduan perubatan yang selesai menjalani latihan siswazah, sekali gus memberikan kestabilan pekerjaan dan hala tuju kerjaya lebih jelas kepada doktor muda.
“Hal ini merupakan pencapaian penting yang memenuhi satu daripada tuntutan MMA sejak sekian lama. Kami menghargai usaha kerajaan ke arah menjamin kestabilan pekerjaan dan memberikan hala tuju kerjaya yang lebih jelas kepada doktor muda kita.
“Pelantikan tetap adalah satu perkembangan positif namun perlu disokong oleh strategi pengekalan tenaga kerja yang menyeluruh. Pemansuhan sistem doktor kontrak tidak seharusnya menandakan berakhirnya usaha kita untuk memperkukuh tenaga kerja sektor kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menekankan usaha mengekalkan momentum itu memerlukan penyelesaian terhadap kekurangan hampir 11,000 pakar di negara ini bagi memenuhi keperluan populasi yang semakin menua serta peningkatan beban penyakit tidak berjangkit (NCD).
Dr Sivanaesan menggesa agar pelaburan diteruskan bagi memperluas peluang latihan kepakaran, meningkatkan kemajuan kerjaya serta mengoptimumkan pengagihan tenaga kerja di seluruh fasiliti penjagaan kesihatan awam.
MMA turut mencadangkan papan pemuka kebangsaan diwujudkan bagi pengagihan tenaga kerja kesihatan sebagai usaha menyediakan gambaran jelas mengenai tahap penempatan petugas dan kekurangan tenaga kerja di hospital serta klinik awam, sekali gus memastikan sumber dimanfaatkan secara berkesan.
Menyentuh aspek penting lain dalam belanjawan berkenaan, Dr Sivanaesan berkata kerjasama antara sektor awam dengan swasta, pelaburan dalam peralatan perubatan serta pelaksanaan inisiatif kesihatan digital berpotensi memendekkan tempoh menunggu pesakit dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.
“Pada akhirnya, Belanjawan 2027 bukan sekadar diukur berdasarkan peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana ia mampu meningkatkan mutu penjagaan pesakit, memendekkan tempoh menunggu, mengekalkan tenaga kerja kesihatan dan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan peningkatan peruntukan sebanyak RM47.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) berbanding RM46.5 bilion tahun lepas.
Antara langkah utama dalam sektor kesihatan ialah menyerap lebih 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap, meningkatkan peruntukan bagi khidmat rawatan pesakit di luar fasiliti kerajaan kepada RM200 juta, memperkenalkan skim MediAsas, menyediakan RM1.2 bilion untuk penyelenggaraan fasiliti kesihatan serta memperluas penggunaan sistem rekod perubatan elektronik di seluruh negara.
-- BERNAMA