Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh komitmen fiskal kerajaan menerusi Belanjawan 2027, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0830/0875 berbanding dolar AS daripada 4.0890/0940 penutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata defisit fiskal Malaysia diunjur mengecil kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 daripada 3.6 peratus yang diunjurkan pada 2026.
“Unjuran pengecilan defisit fiskal itu menunjukkan kerajaan kekal komited terhadap disiplin fiskal yang boleh meningkatkan keyakinan peniaga dan pelabur terhadap ringgit,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup sesi hari ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama serta ASEAN.
Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.5791/5821 daripada 2.5834/5867 semalam namun susut berbanding pound Britain kepada 5.4063/4123 daripada 5.3930/3996 dan rendah berbanding euro kepada 4.5807/5858 daripada 4.5719/5775 sebelum ini.
Berbanding mata wang negara ASEAN lain, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.4 daripada 228.2/228.6 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.50/6.51.
Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1896/1934 daripada 3.1893/1934 pada penutupan semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.1735/1909 daripada 12.1371/1563.
-- BERNAMA