KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan kerja-kerja kecil melalui Jurutera Daerah kepada RM40 juta di bawah Belanjawan 2027 membolehkan pembaikan infrastruktur berskala kecil yang memerlukan tindakan segera dilaksanakan dengan lebih cekap tanpa melalui proses permohonan kewangan yang panjang.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata peningkatan itu bertujuan memperkasakan kecekapan dan keberkesanan Jurutera Daerah dalam menangani masalah infrastruktur di kawasan masing-masing.
“Misalnya, kalau ada projek kecil yang perlu disegerakan, yang memerlukan RM2,000, RM3,000, RM5,000, tak perlulah mereka memohon kewangan peruntukan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mungkin mengambil masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027.
Beliau berkata pendekatan yang dimulakan sejak 2024 itu diteruskan dan diperkukuh secara berperingkat bagi memastikan masalah pada peringkat daerah dapat ditangani segera, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan peruntukan kepada RM40 juta berbanding RM30 juta tahun ini bagi kerja-kerja kecil yang dilaksanakan melalui Jurutera Daerah, termasuk mempercepat tindakan pembaikan jalan seperti jalan berlubang.
Sementara itu, Nanta berkata peluang kontraktor Bumiputera kategori G1 hingga G4 turut diperkukuh menerusi peningkatan nilai perolehan khusus kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion pada 2024, iaitu kenaikan sebanyak 87.5 peratus.
Beliau berkata nilai perolehan berkenaan bukan keseluruhannya melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), sebaliknya turut merangkumi pelaksanaan projek oleh agensi lain memandangkan industri pembinaan berada dalam skop Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), manakala JKR turut mengendalikan pelbagai projek lain.
Mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Nanta berkata ia akan dilaksanakan bagi menyokong pemantauan trafik serta memperkukuh pengurusan insiden yang berlaku di lebuh raya berkenaan.
Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menerima peruntukan bagi menambah kemudahan tempat berteduh kepada pengguna motosikal supaya mereka mempunyai lokasi yang selamat dan selesa untuk berlindung ketika hujan.
Sementara itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai merangkumi pelbagai perkara berkaitan kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan turut memberikan perhatian kepada beberapa isu utama, khususnya perancangan menyambung Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke Terengganu serta memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah terus diberikan keutamaan.
Beliau berkata peruntukan bagi projek tebatan banjir juga perlu dinaikkan sejajar dengan peningkatan risiko banjir, termasuk menilai semula piawaian reka bentuk berdasarkan tempoh ulangan purata (ARI) (Average Recurrence Interval) 50 tahun kepada ARI 100 tahun bagi meningkatkan keberkesanan langkah tebatan banjir.
-- BERNAMA