Ekonomi 09/10/2026 08:44 PM

Belanjawan 2027: Pertumbuhan Ekonomi Berdaya Tahan Menjana Kesejahteraan Rakyat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Pertumbuhan Ekonomi Berdaya Tahan Menjana Kesejahteraan Rakyat

Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail, Niam Seet Wei dan Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 Malaysia berjumlah RM459.8 bilion bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.

Daripada jumlah keseluruhan belanjawan, sebanyak 30.2 peratus atau RM138.85 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini berkata jumlah sebanyak RM459.8 bilion itu terdiri daripada belanja mengurus Persekutuan berjumlah RM376.8 bilion dan belanja Pembangunan Persekutuan sebanyak RM83 bilion.

Dengan penambahan RM25 bilion pelaburan daripada GLIC; sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta; dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), Belanjawan MADANI Kelima yang meneruskan dasar fiskal mengembang mencecah RM510 bilion.  

Anwar berkata ukuran belanjawan bukan pada tebalnya dokumen, besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman. 

“Ukurannya malah jauh lebih asas, yakni adakah lebih ramai rakyat dapat hidup dengan bermaruah dan apakah Malaysia yang kita serahkan kelak kepada generasi seterusnya lebih adil daripada Malaysia yang kita warisi,” kata beliau.

Beliau berkata Belanjawan 2027 juga berpaksikan lapan lunas utama, iaitu Menangani Kos Sara Hidup Rakyat; Mengutama Semua Negeri; Membela Nasib Semua Rakyat; Mengangkat Mutu Perkhidmatan Rakyat; Menjamin Bekalan dan Kesiapsiagaan Negara; Memecah Siling Keupayaan Ekonomi; Memelihara Citra Nusa dan Menata Wang Rakyat Dengan Amanah.

 

UNJURAN HASIL LEBIH TINGGI 2027

 

Tahun ini, Perdana Menteri berkata hasil Persekutuan diunjur lebih tinggi RM363.6 bilion berbanding anggaran asal RM343.1 bilion.

Bagi 2027, beliau berkata hasil dijangka terus meningkat kepada RM380.8 bilion.

“Defisit fiskal 2026 kini diunjur pada 3.6 peratus berbanding sasaran asal 3.5 peratus. Namun, kadar ini kekal dalam jalur menurun daripada 5.5 peratus (2022) dan 3.7 peratus tahun lepas.

“Insya-Allah, defisit 2027 akan menurun lagi kepada 3.3 peratus, menuju sasaran tiga peratus menjelang 2028,” kata beliau, sambil menambah tahap hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK dijangka menurun kepada 63.7 peratus tahun depan.

Bertemakan, ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan MADANI Kelima ini merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memastikan isi rumah dilindungi melalui bantuan bersasar serta disokong oleh akses yang lebih baik kepada infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, mobiliti dan perlindungan sosial.

 

WAAD NASIONAL - KERAJAAN YANG BERTANGGUNGJAWAB

 

Perdana Menteri menegaskan bahawa belanjawan negara adalah pernyataan moral atau Waad (Janji atau Ikrar) Nasional sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, negara tidak akan meminggirkan mereka yang dihimpit kesusahan dan setiap anak Malaysia, apa pun latar keluarga, wilayah atau kedudukannya berhak melihat dan mencapai potensinya.

“Waad ini juga bukan janji sehala, negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya dengan ilmu, kerja, daya cipta dan keberanian.

“Pemerintah menjaga amanah, rakyat memperkukuh negara melalui usaha dan kecemerlangan,” kata beliau.

 

PELEPASAN CUKAI

 

Anwar berkata kerajaan mendengar keresahan golongan pertengahan (M40) yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup.

Justeru, beliau berkata kerajaan menaikkan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 daripada RM9,000 yang tidak disemak sejak 2010.

Pada masa sama, kerajaan mengambil pendekatan progresif dengan menyelaraskan kadar cukai bagi yang berpendapatan tinggi iaitu melebihi RM1 juta kepada 30 peratus.

 

PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA

 

Bagi memperkasakan ekonomi bumiputera, Anwar berkata kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur bernilai RM1 bilion sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra.

Pada masa yang sama, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur RM2 bilion untuk memperkasakan syarikat bumiputera.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas menyasarkan perolehan RM58 bilion daripada syarikat bumiputera mulai 2027, garis panduan perolehan GLC yang tidak disemak sejak 2006 akan diperbaharui.

 

TUMPU PECAH SILING KEUPAYAAN EKONOMI

 

Kerajaan juga memberi tumpuan dalam memecah siling keupayaan ekonomi dengan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2027 terus berkembang antara 4.2 dan 5.2 peratus dengan menyasarkan asas ekonomi negara terus kukuh meskipun dunia dijangka terus berada dalam ketidaktentuan.

Anwar berkata kerajaan turut mendengar keresahan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terpaksa menanggung kenaikan kos operasi, maka kerajaan bersetuju menurunkan kadar cukai pendapatan PMKS sebanyak satu mata peratusan.

Susulan konflik di Asia Barat, Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan pembiayaan sehingga RM5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan.

“BNM bersetuju untuk menambah RM5 bilion lagi dana pembiayaan ini kerana sambutan diterima amat mengalakkan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyediakan pembiayaan sehingga RM32 bilion pada tahun depan.

“Liputan SJPP akan diperluas meliputi syarikat pertengahan dalam semua sektor dengan had jaminan turut ditingkatkan sehingga RM50 juta.

“Sebanyak RM1 bilion jaminan SJPP akan dikhususkan bagi menyokong pengembangan syarikat tempatan melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” kata beliau.

Ini bermakna jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan akan ditingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion pada 2027.

 

PEKA KEHENDAK PENIAGA KECIL, SEDERHANA

 

Menyentuh isu perdagangan, Anwar berkata kerajaan memandang serius keresahan peniaga kecil dengan kewujudan syarikat e-dagang asing yang menyusup ke pasaran negara tanpa pengawasan dan penguatkuasaan.

 “Oleh itu, kerajaan segera meneliti langkah perundangan dan penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan PMKS tempatan daripada persaingan tidak adil, selain turut memastikan barangan yang dibeli oleh rakyat adalah selamat,” kata beliau.

Katanya Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang akan dibentangkan pada mesyuarat akan datang, sebagai usaha memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian.

Bagi mempermudah urusan perniagaan supaya syarikat global mudah untuk beroperasi di Malaysia dan membawa masuk bakat mahir terbaik, kerajaan akan menambah baik galakan cukai Hab Perkhidmatan Global (GSH) mulai 1 Jan 2027.

“Antaranya kadar cukai istimewa lima peratus diberikan ke atas pendapatan daripada aktiviti GSH bagi syarikat baharu,” kata beliau.

Bagi memperkasakan ekonomi rentas sempadan, Anwar berkata beliau dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan melancarkan Pelan Induk dan Pelan Tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada akhir tahun ini.

 

BINA NEGARA UNTUK GENERASI AKAN DATANG

 

 Sebelum mengakhiri pembentangan Belanjawan 2027 selama kira-kira dua jam, Anwar berkata kerajaan tidak membina negara untuk satu tahun fiskal semata-mata tetapi untuk satu generasi.

“Inilah tanggungjawab kita bahawa bukan sekadar apa yang telah dibelanjakan tetapi apakah yang kita telah sediakan untuk mereka yang akan hidup esok.

“Tugas sebuah generasi bukan semata-mata menikmati apa yang diwarisi tetapi memperluas apa yang boleh diwariskan,” kata beliau.

-- BERNAMA