Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Jumaat, memandangkan pengecualian duti eksport bagi komoditi tersebut tidak direalisasikan dalam Belanjawan 2027.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata keyakinan pasaran merosot susulan ketiadaan pengumuman mengenai cadangan pengecualian tersebut.
“Momentum niaga hadapan MSM berubah arah apabila keyakinan terhadap kemungkinan pengecualian duti eksport Malaysia semakin pudar selepas pengumuman yang dinanti-nantikan itu tidak menjadi kenyataan.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,500 dan paras rintangan pada RM4,680,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak Oktober dan November 2026 susut RM86 masing-masing kepada RM4,362 dan RM4,465 satu tan, manakala kontrak Disember 2026 merosot RM69 kepada RM4,592 satu tan.
Sementara itu, kontrak Januari 2027 susut RM58 kepada RM4,709 satu tan, Februari 2025 berkurang RM44 kepada RM4,810 dan Mac 2027 merosot RM23 kepada RM4,902.
Jumlah dagangan menyusut kepada 145,207 lot daripada 160,977 pada Khamis, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 337,867 kontrak berbanding 333,864 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan merosot RM10 kepada RM4,450 setan.
-- BERNAMA