KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peruntukan bagi perolehan 17 unit bot amfibiacraft dan kenaikan kadar elaun anggota sukarelawan membolehkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh keupayaan operasi menyelamat serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Ketua Pesuruhjaya APM Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata langkah yang diumum pada Belanjawan 2027 itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan memperkukuh keupayaan operasi pertahanan awam, khususnya ketika menghadapi bencana seperti banjir.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan berkenaan yang merangkumi penambahan aset bot penyelamat serta penambahbaikan kadar elaun anggota sukarelawan.
“Pembelian aset penyelamatan dan kenaikan elaun anggota pasukan sukarelawan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan operasi semasa, malah merupakan langkah strategik untuk memperkukuh sistem pengurusan bencana negara.
“Keupayaan aset yang mantap, disokong oleh anggota yang terlatih dan bermotivasi tinggi, menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan pertahanan awam yang lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan menyaksikan perolehan 17 unit bot amfibiacraft bagi mempercepat operasi menyelamat APM.
Selain itu, kadar elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Bomba Bantuan, Sukarelawan Polis dan Sukarelawan Pertahanan Awam dinaikkan kepada RM9 sejam bagi kategori petugas sukarelawan dan RM10.80 sejam bagi kategori penyelia, dengan peruntukan RM339 juta yang dijangka memanfaatkan hampir 50,000 sukarelawan.
Mohammad Abiddin berkata APM akan terus komited melaksanakan amanah berteraskan prinsip “Sedia, Pantas dan Berintegriti” bagi memastikan keselamatan serta perlindungan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan.
-- BERNAMA