Am 09/10/2026 07:55 PM

Pelaburan Prasarana RM3.4 Bilion Perkukuh Keupayaan Sistem Rel, Minimumkan Gangguan Perkhidmatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelaburan Prasarana RM3.4 Bilion Perkukuh Keupayaan Sistem Rel, Minimumkan Gangguan Perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Pelaburan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebanyak RM3.4 bilion bagi program pemulihan menyeluruh perkhidmatan adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang untuk memperkukuh keupayaan dan daya tahan sistem rel, mengoptimumkan prestasi serta kebolehpercayaan aset.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaburan itu akan meminimumkan risiko gangguan perkhidmatan demi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa kepada pengguna. 

"Prasarana mengambil maklum penekanan kerajaan terhadap keperluan memastikan kelancaran perkhidmatan rel untuk keselesaan dan kemudahan rakyat.

"Sehubungan dengan itu, Prasarana komited untuk mempergiat usaha meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh penyelenggaraan serta menangani isu-isu teknikal secara menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan yang stabil, selamat dan boleh dipercayai," menurut kenyataan itu.

Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam terbesar negara, Prasarana memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk menyediakan sistem mobiliti yang selamat, cekap, inklusif dan mampan, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah mencapai peratusan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, Prasarana turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas keputusan meneruskan kemudahan pas perjalanan My50 yang memberikan manfaat kepada kira-kira 300,000 pengguna perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL di Lembah Klang setiap bulan.  

 "Kesinambungan inisiatif ini amat bermakna dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk perjalanan harian," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat, hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemudahan My50 diteruskan bagi pengguna bas dan rel Prasarana di Lembah Klang.

-- BERNAMA