KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) diperuntukkan sebanyak RM22.11 bilion dalam Belanjawan 2027, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak RM361.95 juta atau 1.66 peratus berbanding peruntukan tahun sebelumnya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata daripada jumlah keseluruhan itu, RM14.52 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus manakala RM7.58 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Beliau berkata sejumlah RM5.34 bilion daripada peruntukan itu dikhususkan bagi pemerolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan bagi memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dalam aspek kebajikan, RM957.30 juta diperuntukkan bagi perumahan ATM untuk memastikan anggota dan keluarga mendapat kemudahan kediaman yang lebih baik, selesa dan kondusif.
“Bagi veteran ATM pula, peruntukan pengurusan sebanyak RM304 juta disediakan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV),” katanya dalam kenyataan berhubung reaksi kementeriannya terhadap Belanjawan 2027 hari ini.
Mohamed Khaled berkata kementerian itu turut menyambut baik peningkatan kadar pencen terendah daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan yang akan memanfaatkan hampir 59,000 penerima secara keseluruhan, termasuk pesara ATM dan penerima pencen terbitan.
Menyifatkan belanjawan bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” itu sebagai mencerminkan semangat Waad Nasional, beliau menegaskan komitmen MINDEF untuk memastikan setiap peruntukan diurus secara telus, berhemah dan berkesan.
“Pertahanan negara adalah amanah besar yang mesti terus dipelihara demi keselamatan rakyat, kedaulatan negara dan masa depan Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA